SULTAN Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berharap Kerajaan Pusat akan memberi perhatian dan mengambil tindakan segera terhadap ‘wishlist’ yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mei lalu.
Baginda berharap Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permintaan insentif fiskal, sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah.
‘’Ia merupakan satu mekanisme timbal balik, bila mana Kerajaan Beta perlu mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi, yang menyumbang 43 peratus Tahap Sara Diri Beras Negara. Ini adalah kehilangan potensi pembangunan, selain pertanian yang boleh menjana hasil negeri yang lebih tinggi.
‘’Semoga usaha Kerajaan Beta untuk mensejahterakan rakyat Beta, dan meningkatkan taraf ekonomi negeri akan dapat dilaksanakan, terutamanya melalui permintaan insentif fiskal pengekalan kawasan jelapang padi, bagi tujuan pembangunan serta penyediaan rumah, kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan,’’ katanya.
Baginda bertitah demikian pada majlis anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-82 di Alor Setar.
Sultan Sallehuddin berkata, insentif fiskal ini dilihat akan dapat mengimbangi hasil, dan perbelanjaan Negeri Kedah pada masa hadapan, bagi pembangunan sosio-ekonomi.
‘’Melalui insentif ini, Kerajaan Beta dapat menyediakan program bantuan kepada golongan miskin seperti di kalangan keluarga petani, dengan membantu anggota isi rumah menambah pendapatan keluarga, menyediakan bantuan pendidikan yang lebih sempurna, serta melengkapkan keperluan asas, dan akhirnya membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan hidup.
‘’Di samping itu, ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, seperti menyediakan lebih banyak kawasan perniagaan kepada golongan peniaga dan penjaja kecil,’’ titah baginda.
Dalam usaha ke arah kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri Kedah, baginda amat gembira apabila kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM11.6 juta, pada tahun ini untuk menyediakan pelbagai bentuk program bantuan, di bawah Program Bantuan Kedah Sejahtera.
‘’Pada hemat Beta, usaha ini dapat menyemai prinsip perpaduan dan keharmonian sesama bangsa, melalui program bantuan kepada golongan yang memerlukan, merentasi semua kaum yang ada di negeri ini.
‘’Oleh yang demikian, Beta menyeru kepada semua rakyat, untuk memelihara jalinan perpaduan yang telah lama wujud ini, demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat, di Negeri Kedah yang kita cintai,’’ titah baginda.
Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, yang telah berusaha sebaik mungkin menyediakan pelbagai inisiatif, bagi menangani soal kemiskinan yang turut dimanfaatkan oleh rakyat Kedah.
Sultan Sallehuddin turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri, terutamanya berkaitan kemiskinan tegar berjumlah 1,750 keluarga di Kedah, untuk disantuni dalam tempoh yang singkat.
‘’Beta disembah maklum yang sehingga kini, ia telah berjaya dikurangkan sebanyak 77 peratus, kepada 404 keluarga,’’ titah baginda.

