Selatan Thailand : Berunding dengan BRN ibarat ‘mahu isi air dalam baldi, guna penapis santan’

Dari Penulis

 

 PADA 30 Jun lalu, seorang guru tadika, Rokiah Saranah yang dalam perjalanan untuk membeli makanan untuk murid-muridnya terbunuh apabila berlaku letupan bom kereta berdekatan flat polis di daerah Banang Sata , Yala.

 Kejadian serangan bom kereta itu yang merupakan kali pertama berlaku pada tahun ini di Selatan Thailand turut mencederakan  seramai 34 orang termasuk anggota polis, orang awam yang tidak berdosa dalam kalangan kaum wanita dan kanak-kanak. 

 Kira-kira empat hari selepas kejadian itu, puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) melalui catatan dalam Facebook mereka menyifatkan apa yang berlaku ke atas guru tersebut adalah takdir illahi dengan menggambarkan seolah-olah itulah pengorbanan dalam sebuah peperangan.

 Tetapi soalnya, Allahyarhamah Rokiah adalah orang awam, Allahyarhamah tidak terlibat dalam mengangkat senjata, namun Allahyarhamah menjadi korban angkara kelompok yang mendabik dada mereka memperjuangkan kemerdekaan demi kesejahteraan penduduk Selatan Thailand.

 Persoalannya, kalau betul lah BRN menggunakan istilah ‘’peperangan’’ dalam perjuangan mereka, adakah mereka bermaksud mengorbankan orang awam tidak berdosa merupakan harga yang terpaksa dibayar? Tidakkah cara sedemikian tiada bezanya dengan tindakan rejim Zionis membunuh rakyat Palestin atas alasan memburu skuad Al-Qasam?

 BRN bukanlah kelompok sebarangan. Mereka adalah kelompok yang terlibat dalam proses rundingan damai dengan pemerintah Thailand yang mana Malaysia menjadi fasilitatornya. Kehadiran mereka atas nama mewakili puak pemisah. Namun begitu setakat ini, kehadiran mereka bukan sahaja tidak membawa apa-apa hasil yang signifikan, sebaliknya mewujudkan persoalan, apa motif sebenar mereka menyertai atau dijemput menyertai rundingan damai berkenaan?

 Ia memandangkan dalam mesej sempena Aidiladha pada 17 Jun lalu, BRN yang diberikan layanan Istimewa sebagai wakil puak pemisah dalam rundingan damai masih menggunakan istilah ‘’ancaman musuh’’,  ‘’ bangsa asing merompak dan merampas’’ dan ‘’merdeka,Merdeka,merdeka’’.

 Jika mereka mahu merdeka, jika mereka menganggap pemerintah Thailand sebagai musuh dan jika mereka mengatakan kerajaan Thailand adalah bangsa asing yang merompak kekayaan di Selatan Thailand,  adakah proses rundingan damai akan berjaya?

 Sikap seumpama itu akan menyebabkan kesungguhan pemerintah Thailand dan komitmen Kerajaan Malaysia mahu mewujudkan kedamaian berkekalan di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam hanya sia-sia.

 Atas sebab itulah dengan mengambil semangat pelantikan Fasilitator Malaysia yang baru iaitu Datuk Mohd Rabin Basir  – satu tindakan perlu dilakukan untuk mengkaji keberkesanan kehadiran dalam BRN dalam rundingan damai tersebut.

 Penulis bukannya mahu mencadangkan supaya BRN digugurkan sebagai wakil puak pemisah – silakan sahaja kalau mahu menjemput atau mengekalkan mereka, tetapi lakukan perubahan – bukan sahaja dari segi panel mewakili puak pemisah tetapi paling penting BRN  MENGGUGURKAN perjuangan mereka menuntut kemerdekaan.

 Selagi mereka menguar-uarkan mahu menuntut kemerdekaan, tiada gunanya rundingan damai dilaksanakan kerana ia tidak akan mendatangkan apa-apa hasil. Tidak perlu berlapik untuk menyatakan bahawa apa gunanya memberi layanan Istimewa, jika mereka masih lagi bersemangat untuk merdeka.

 Tambahan pula, mereka bukannya mendapat sokongan penduduk Islam Selatan Thailand, mungkin ada yang menyokong tetapi ia tidak seramai mana kerana majoriti penduduk tersebut mahu hidup aman damai.

 Ketika pemimpin BRN menggesa penduduk Islam mempertahankan kepentingan bangsa Pattani dan bersedia berkorban tetapi mereka sendiri bersenang lenang di luar negara. Tidak cukup dengan itu ada juga laporan menyatakan mereka menjadikan meja rundingan damai untuk menuntut supaya pemimpin mereka yang ditahan di luar negara dibebaskan. Tidak pasti sama ada dakwaan itu, betul atau tidak tetapi itulah yang diperkatakan orang.

 Oleh itu dengan kehadiran fasilitator baru adalah wajar jika kesemua aspek termasuklah soal BRN dikaji semula dan seterusnya dilakukan perubahan serta memperbaiki kelemahan. Walaupun mungkin panel BRN sudah lama dipilih tetapi kalau ia tidak mendatangkan hasil apa gunanya mereka berada di meja rundingan.

 Pemerintah Thailand dan Malaysia juga perlu mengkaji keperluan untuk membawa masuk puak pemisah atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selatan Thailand  yang tidak sehaluan dengan pemerintah Thailand ke dalam meja rundingan.

 Langkah itu selari dengan kenyataan Presiden Pertubuhan PULO, Kasturi Mahkota ketika mengucapkan tahniah atas pelantikan Mohd Rabin sebagai Fasilitator yang baru apabila beliau berkata;

‘’Seluruh rakyat Pattani menaruh harapan besar kepada Yang Berbahagia Datuk Haji Mohd Rabin bin Basir dapat merealisasikan satu proses penyelesaian yang ditunggu-tunggukan oleh semua pihak dengan berbekalkan pengalaman luas sebagai bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara Malaysia sebelum ini, iaitu satu proses yang bermula dengan melibatkan SEMUA GERAKAN PEMBEBASAN PATANI tanpa berkecuali secara menyeluruh, adil dan berkekalan di Pattani.’’

 Apa yang dinyatakan oleh pemimpin PULO itu adalah tepat iaitu memastikan tiada kelompok yang ketinggalan dalam rundingan itu. Ketika ini rundingan damai hanya bergantung kepada BRN. Dalam mesyuarat macam-macam BRN tuntut dan minta tetapi keganasan tidak juga berhenti, nyawa penduduk Islam terus terancam! Angkara siapa? Angkara BRN seperti mana nasib yang menimpa guru tadika di Yala tersebut.

 Jika BRN bertegas tidak mahu menghentikan tuntutan merdeka, tidak mahu berjanji hentikan keganasan, tidak mahu puak pemisah atau kelompok lain dibawa masuk dalam proses damai… biarkan sahaja. Pemerintah Thailand serta Fasililator Malaysia perlu menunjukkan ketegasan dalam soal ini.

Malaysia juga boleh menunjukkan ketegasan dengan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat keganasan di Selatan Thailand tidak kira siapapun mereka.

 Kesimpulannya,   cukup-cukuplah habiskan masa, tenaga dan wang untuk melayan kerenah BRN. Kalau kesemua sumber itu ditumpukan kepada membangunkan Selatan Thailand sudah pasti wilayah tersebut boleh menjadi antara wilayah termaju untuk umat Islam  bukan hanya menyenangkan segelintir pemimpin puak pemisah yang terlibat dalam rundingan damai.  

 Buat masa ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan, akibat kerenah BRN, proses rundingan damai yang berlangsung selama ini tiada apa-apa hasil…ibarat ‘’mahu mengisi air dalam baldi…baldi tak penuh..penat yang dapat’’! Hentikanlah!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Wanita ditahan selepas benarkan anak keluar kepala melalui sunroof

SEORANG wanita ditahan selepas membenarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui bumbung bukaan atau sunroof ketika kereta sedang bergerak,...

More Articles Like This