PEMAIN badminton nombor stau negara, Lee Zii Jia yang juga menjadi harapan negara untuk pingat emas memperoleh laluan mudah di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila bakal memulakan kempennya di temasya kali ini dalam Kumpulan G.
Dalam satu undian dianjurkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu pejabat badan induk dunia berkenaan di sini, sebentar tadi, Zii Jia yang bakal membuat penampilan keduanya di pentas Olimpik diundi dalam kumpulan bersama wakil Sri Lanka, Viren Nettasinghe dan Pablo Abian dari Sepanyol.
Zii Jia belum pernah bertemu Nettasinghe dalam mana-mana kejohanan sebelum ini manakala pemain yang berada di ranking ketujuh dunia itu pernah meraih kemenangan ke atas Abian di Terbuka Hylo pada 2021.
Nettasinghe merupakan pemain badminton yang berada di ranking ke-72 dunia, manakala Abian ke-63 dunia.
Bagi beregu campuran, wakil negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi dalam Kumpulan D bersama ranking kedua dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping.
Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah beregu dari Amerika Syarikat (AS), Vinson Chiu-Jennie Gai dan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura.
“Untuk beregu campuran, ada peluang untuk mara dari peringkat kumpulan walaupun bukan mudah kerana ada China yang pemain wanitanya bekas juara Olimpik dan juga ada terry dan beregu Amerika Syarikat.
“Jadi Tang Jie-Ee Wei kena bersiap sedia dengan sebaiknya dari sudut mental, fikiran dan juga dalam latihan selain jaga kesihatan, itu yang paling penting,” kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky.
Bagi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dijadual menempuh halangan berliku apabila diundi dalam Kumpulan A bersama pemenang pingat perak di Tokyo 2020 dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan dan gandingan berpengalaman Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah gandingan Jepun di ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.
Bagi acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei dijadual membuka tirai saingan dalam Kumpulan H bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz.
Undian bagi beregu lelaki begitupun tidak diadakan pada hari ini apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan yang ia akan dianjurkan pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sukan badminton dijadual berlangsung di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

