Pakistan terletak di Asia Selatan dan bahasa Urdu merupakan bahasa ibunda selain bahasa Inggeris yang di sering dipertuturkan.
Kebanyakan orang Pakistan bertutur mengikut bahasa daerah, terutama Punjabi, Sindhi, Pashto, dan Baluchi. Hampir semua orang Pakistan adalah Muslim.
Hidangan sayuran Aloo Gobi pula antara menu wajib yang dimakan bersama roti puri atau capati. Pakistan mempunyai pelbagai variasi masakan yang menggunakan banyak rempah-ratus, bawang putih, halia, kunyit dan garam masala. Hidangan roti bersama aneka jenis sayuran berserta daging adalah makanan kegemaran orang Pakistan. Resipi yang dikongsikan oleh Norzila Saim ini, memang sedap dan mudah disediakan. Cubalah…!

ALOO GOBI
BAHAN
2 biji ubi kentang saiz sederhana – potong kecil
250 gm kubis bunga
1 sudu kecil jintan putih
1 labu bawang besar – dadu
1 sudu kecil halia – tumbuk
1 sudu kecil bawang putih – tumbuk
½ sudu kecil serbuk kunyit
¾ sudu kecil serbuk cili
½ sudu kecil serbuk jintan putih
½ sudu kecil serbuk ketumbar
½ sudu kecil serbuk garam masala
1 biji tomato – hiris dan tumbuk kasar
1 tangkai cili hijau – tumbuk kasar
Daun ketumbar secukupnya
Sedikit garam
CARA PENYEDIAAN :

1. Panaskan sedikit minyak, masukkan jintan putih kacau perlahan-lahan sehingga berbunyi pop.

2. Kemudian masukkan bawang besar, tumis sehingga bawang layu dan lembut.

3. Masukkan halia, bawang putih, tomato dan cili hijau. Tumis seketika sehingga naik bau. Selepas itu, masukkan serbuk ketumbar, serbuk lada,serbuk jintan dan serbuk kunyit, tumis lagi sehingga sedikit kering.

4. Masukkan kentang dan kubis bunga kacau rata, masak sehingga kentang dan kubis bunga lembut.

5. Kemudian masukkan serbuk garam masala dan garam, kacau rata. Taburkan hirisan daun ketumbar dan kacau rata. Sedia dihidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

