Keganasan berterusan bukti BRN akan gagalkan lagi rundingan damai 

Dari Penulis

 

 

PADA 9 Julai lalu, wilayah Yala dikejutkan dengan kejadian merompak senjata api miliki anggota Pusat Kawalan Keselamatan Kampung di empat lokasi iaitu di Korang Pinang, Yaha dan dua di Lam Mhai.

 Berdasarkan laporan media di Selatan Thailand, pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 50 anggota puak pemisah terlibat dalam kejadian yang berlaku iaitu kira-kira empat hari selepas Malaysia mengumumkan bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Malaysia yang baru  bagi proses rundingan damai berkuatkuasa 1 Julai lalu.

 Kejadian  di Yala itu membuktikan bahawa segala rundingan damai tidak kira di peringkat teknikal mahupun mesyuarat utama yang dijalankan selama ini GAGAL menghentikan keganasan di Selatan Thailand. Ia juga bermakna segala usaha dilakukan oleh pemerintah Thailand dengan Malaysia menjadi Fasilitator demi kedamaian penduduk Islam di wilayah itu juga GAGAL!

  Peristiwa rampasan senjata itu membuktikan harapan untuk melihat Selatan Thailand tidak terus digegarkan dengan tindakan keganasan hanyalah ibarat ‘mimpi di siang hari’. Selain itu ia juga menunjukkan bahawa ada sesuatu  tidak kena terhadap proses rundingan damai yang turut melibatkan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang mendakwa, mereka mewakili puak pemisah serta berjuang untuk penduduk Islam.

 Penulis yang sudah lama mengikuti perkembangan di wilayah itu tertanya-tanya kenapakah beberapa ‘keanehan’ dan ‘kejanggalan’ dalam proses rundingan damai tersebut seolah-olah tidak ketahui oleh pemerintah Thailand mahupun Malaysia sebagai Fasilitator?

 Tidakkah mereka tertanya-tanya, kalaulah BRN sedang berunding mahu mencipta kedamaian, kenapa pada masa sama, tindakan keganasan masih berlaku di wilayah itu? Kalau BRN kata mereka berjuang demi penduduk Islam, kenapa mereka  ‘tidak boleh’ menghentikan serangan bom yang menghancurkan kemudahan awam dan pembunuhan ke atas penduduk Islam yang tidak berdosa?

 Turut menjadi persoalan kenapakah hanya BRN diberi keistimewaan untuk berunding dengan pemerintah Thailand? Kenapa kelompok pemisah lain tidak diajak turut serta dalam proses damai? Adakah panel BRN yang menghadiri proses tersebut benar-benar layak mewakili penduduk Islam Selatan Thailand? Adakah penduduk Islam yang hidup damai di wilayah itu memberi keizinan kepada BRN mewakili mereka?

 Ada juga yang bertanya adakah panel BRN itu terdiri daripada mereka yang tinggal di Selatan Thailand? Dan adakah mereka benar-benar warganegara Thailand?  Sebab ada cakap-cakap di wilayah tersebut bahawa sebahagian anggota panel BRN ke proses damai adalah warganegara Malaysia? Betulkah? Kalau mereka bukan warganegara dan sudah berpuluh-puluh tahun tidak balik ke wilayah berkenaan, bukankah janggal untuk berunding dengan puak seumpama ini?

 Selain itu penulis juga percaya laungan mahu merdeka hanya sandiwara kumpulan pemisah bagi membolehkan proses rundingan damai dilanjutkan walaupun gagal kerana ia membolehkan mereka menikmati layanan Istimewa daripada pemerintah Thailand dan Malaysia sebagai tuan rumah rundingan itu.

 Atas sebab itulah mengambil semangat pertukaran Fasilitator Malaysia daripada Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin kepada Mohd. Rasbin adalah wajar Mohd. Rasbi meneliti kembali semua hasil mesyuarat sebelum ini terutamanya melibatkan ahli panel yang mewakili puak pemisah dan apa tuntutan mereka.

 Panel daripada BRN atau mewakili puak pemisah perlu dipastikan wakil yang betul, tepat dan ada kuasa untuk menghentikan keganasan. Selagi keganasan terus berlaku, tiada  gunanya perundingan dijalankan. Keganasan tidak boleh dijadikan ‘senjata’ untuk BRN menggugut proses rundingan damai untuk mengikut telunjuk mereka.

Malaysia sebagai Fasilitator dan pemerintah Thailand harus mengkaji kemungkinan membawa masuk pemimpin masyarakat dan kumpulan pemisah lain di Selatan Thailand untuk sama-sama menyertai rundingan damai. Ia memandangkan walaupun BRN mendakwa mereka berjuang untuk penduduk Islam tetapi mereka juga bertanggungjawab melakukan serangan dan pembunuhan ke atas insan-insan tidak berdosa di wilayah itu.

Justeru Malaysia perlu menunjukkan ketegasan dengan meminta BRN untuk menghentikan keganasan  demi kesejahteraan penduduk Islam. Selama ini walaupun berada dalam keadaan konflik yang dicetuskan oleh BRN, namun pemerintah Thailand tetap tidak meminggirkan wilayah itu apatah lagi menindas penduduk Islam.

 Sejak 2010 lagi, ketika Malaysia mempunyai Pasukan Petugas Khas atau Task Force 2010 diketuai Allahyarham Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abu Bakar Bakar Omar pelbagai usaha dilakukan dengan kerjasama pemerintah Thailand bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Thailand dari segi ekonomi, Pendidikan dan sosial.

 Sudah berapa ramai pelajar Islam dari Selatan Thailand melanjutkan pelajaran ke Malaysia sehingga ke peringkat doktor falsafah (Phd) dan ada pula meneruskan pengajian di Darul Quran. Penulis masih ingat ketika itu atas usaha Task Force 2010 Malaysia dan Thailand, belia Islam diberi latihan dalam bidang vokasional.

 Ini belum lagi termasuk pelbagai peruntukan disalurkan oleh pemerintah Thailand bagi memajukan Selatan Thailand tetapi ini tidak mahu diakui oleh BRN atau mungkin juga mereka tidak tahu maklumlah bak kata orang ‘dah lama tak balik kampung’.

Hakikatnya, BRN ada agenda peribadi sebab itulah mereka sering menggagalkan usaha rundingan damai yang akan membuka jalan bagi membolehkan tumpuan penuh diberikan bagi memajukan Selatan Thailand. Di wilayah itu tidak ada penindasan apatah lagi diskriminasi yang akan memaksa penduduk Islam mengangkat senjata untuk menentang pemerintah negara itu.

 Penjajahan, penindasan, diskriminasi dan kemunduran hanyalah dakwaan puak pemisah yang bertujuan untuk memburuk-burukkan pemerintah Thailand. Kalau berlaku semua itu, sudah pasti umat Islam tidak akan dapat menjalankan aktiviti dengan bebas.

Benar ada sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand di wilayah tersebut tetapi cuba bertanya kepada BRN bukankah langkah itu dilakukan disebabkan keganasan yang mereka cetuskan? Yang sedang ‘menindas’ penduduk Islam, yang sedang ‘memundurkan’ penduduk dan yang sedang menggugat kehidupan penduduk Islam BUKAN pemerintah Thailand TETAPI BRN yang pemimpinnya sendiri sudah berpuluh-puluh tahun tidak menjejak kaki ke tanah air sendiri

 Kesimpulannya, di bawah Fasilitator baru adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada agenda memajukan dan menjayakan lagi agenda membangunkan Selatan Thailand, bukannya ‘terpedaya’ dengan slogan merdeka atas jalan yang dipelopori oleh BRN. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This