AKTRES Fazura menyangkal khabar angin mengenai rumah tangganya dengan pelakon Fattah Amin sedang berdepan episod konflik seperti yang tular di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin,40, akui bingung dan pelik bagaimana spekulasi tidak benar mengenai rumah tangga mereka muncul.
“Sejujurnya saya tak tahu hujung pangkal dari mana cerita ini bermula. Kawan-kawan pun ada hantar mesej kepada saya bertanyakan hubungan dengan Fattah okay atau pun sebaliknya.
“Saya faham peminat nak ambil berat sebab dah lama tak nampak kami bersama.
“Kalau ada spekulasi-spekulasi mengatakan hubungan kami bermasalah di luar sana, itu memang tak betul. Saya dan Fattah okay,,” katanya kepada URTV.
Fazura berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pelakon drama Lelaki Itu turut mengulas lanjut mengenai sudah kurang berkongsi foto bersama Fattah di media sosial disebabkan mahu fokus menyebarkan isu pergolakan di Palestin.
Jelas Fazura, ketika ini, dia mahu mengelakkan berkongsi konten kemesraan bersama keluarga disebabkan terlalu bersedih memikirkan nasib mangsa perang rakyat Gaza.
“Secara jujur saya memang terhadkan posting di media sosial. Saya terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin.
“Jadi saya rasa tak okey nak paparkan kemesraan bersama keluarga dalam media sosial.
“Nak muat naik gambar Fatima (anak) pun saya fikir banyak kali. Saya tak nak tunjuk kebahagiaan bersama anak dan suami.
“Tapi saya ada satu lagi akaun Instagram ‘private’. Dekat situ, sesiapa yang ikuti boleh lihat foto-foto kami bersama…tentang perkembangan kami,”ujarnya.
Kongsi bintang filem Dendam Pontianak itu lagi, kesibukan Fattah di lokasi penggambaran membuatkan mereka jarang bertemu.
“Jadual kerja kami berdua sangat sibuk dan jarang jumpa. Fattah keluar pagi dan balik malam, jadi memang kami tiada masa nak tunjuk kemesraan.
“Kadang hari ini ‘shooting’ di Kuala Lumpur atau Port Dickson, esok lusa dia akan ke Johor Bahru untuk beberap hari,” jelasnya.
Terdahulu, heboh kisah rumah tangga pasangan selebriti ini yang didakwa sedang berdepan kemelut.
Khabar angin tersebut mula timbul selepas mereka dilihat jarang berkongsi foto bersama di media sosial.
Untuk info, Fattah dan Nur Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahay mata iaitu Nur Fatima Aisya, 4.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

