SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bukit Damansara menewaskan lima sekolah lain dan muncul juara pada Pertandingan Choral Speaking bagi sekolah rendah sempena Karnival Bahasa dan Sastera Inggeris 2024 Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), hari ini.
Pasukan itu yang menyampaikan Choral Speaking bertajuk ‘Education’ menerima pingat emas dan sijil pencapaian.

Tempat kedua pula dimenangi SK Seri Pristana dengan tajuk ‘Voyage’ manakala tempat ketiga, SK Kiara Mas (A day in the life of a vlog).
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima pingat perak dan gangsa serta sijil pencapaian.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Dr Selvanayagi Shanmugham.
Karnival itu turut menyaksikan pertandingan seperti Pertandingan Skit, Nyanyian dan Public Speaking.
Karnival yang diadakan setiap tahun itu bertujuan menjana minat pelajar terhadap penggunaan bahasa Inggeris di luar bilik kuliah dan membantu membudayakan tabiat bertutur dalam bahasa Inggeris secara spontan dan berkesan dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
Seorang guru pengiring SK Seri Pristana, Zaim Mohd Jais, berkata beliau tetap berbangga dengan pasukan yang dibimbingnya walaupun mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini dua tahun berturut-turut.
Katanya, ia adalah hasil usaha keras ahli pasukan selama berbulan-bulan dengan latihan tanpa rasa jemu.
“Ia bukan satu tugas yang mudah. Kami bermula dengan uji bakat dan akhirnya berjaya membentuk kumpulan Choral Speaking. Latihan dilakukan pada pagi sebelum masuk ke kelas dan pada sebelah tengah hari, sejam sebelum waktu persekolahan tamat. Ini berterusan selama dua bulan.
“Saya bertuah kerana mempunyai rakan sekerja dan murid yang berdedikasi serta komited. Akhirnya kami berjaya masuk final dan menang tempat kedua, menewaskan sekolah lain yang lebih handal,” katanya.

