Setitis susu hingga ke hujung nyawa. Pembantaian etnik terburuk pada abad ke 20

Dari Penulis

GAMBAR PERTAMA, bertarikh 23 Julai 1994 – Anak kecil itu menangis hiba. Barangkali memanggil-manggil ibunya, namun wanita di sebelahnya tidak mampu lagi bersuara.

Anak kecil yang barangkali berusia lingkungan satu tahun itu masih belum mengerti apa yang berlaku. Apa yang dia tahu, dia haus. Lalu, dia menyelak baju ibunya, dan terus menghisap susu.

Tanpa anak kecil ini tahu, ibunya sudah tidak lagi bernyawa. Jasad ibunya terdampar di situ, di samping ratusan mayat lain yang menunggu masa untuk ditanam di kem pelarian Munigi. Kem ini terletak di Goma, bandar di sempadan antara Rwanda dan  Republik Demokratik Congo.

Anak kecil ini tidak tahu ibunya sudah tidak bernafas. Dia tidak tahu ibunya akan di tanam ke dalam tanah. Dia tidak tahu. Dia hanya mahu terus menyusu…

GAMBAR KEDUA, bertarikh 28 Julai 1994 – Wanita itu mengendong anak kecilnya. Dia berjalan beratus kilometer melarikan diri dari kampung halamannya menuju ke kem pelarian di sempadan Rwanda. Dia cuba mencari peluang untuk meneruskan sisa hidup. Tetapi, akhirnya dia jatuh kelelahan. Sehabis daya kudratnya digunakan, tapi tidak lagi mampu untuk meneruskannya. Anak kecil itu juga kian lemah. Hidup matinya hanya bergantung kepada si ibu yang kian pendek nadinya untuk terus bernafas…

DUA keadaan sayu dalam foto di atas berlaku kerana satu kemalangan udara. Ya, kerana sebuah pesawat yang terhempas yang akhirnya mencetuskan pembantaian manusia paling dahsyat pada abad ke-20.     

Ia berlaku di sebuah negara kecil di benua Afrika. Sebelum itu, dunia jarang mengendahkan Rwanda (kini dikenali sebagai Republik Rwanda). Negara di bahagian tengah Afrika ini bersempadan dengan Burundi, Uganda, Tanzania dan Republik Demokratik Congo.

Rwanda terletak berdekatan Afrika Tengah. Ibu negaranya adalah bandar Kagali. Rakyatnya terdiri dari 3 etnik, 85 peratus adalah etnik Hutu, 14 peratus etnik Tutsi dan selebihnya etnik Twa, penduduk peribumi.

Zaman dahulu, Rwanda mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Ketika itu, tidak wujud masalah dari segi perbezaan etnik. Semua dianggap sama rata. Malah, setiap etnik mengamalkan budaya yang hampir sama. Perkahwinan campuran etnik juga perkara biasa.

Tetapi, antara kurun ke-18 hingga ke-19, pemerintahan dikuasai oleh raja dari kalangan etnik Tutsi. Sel barah yang memecahkan perpaduan kaum mula wujud semasa pemerintahan Raja Mwami Kigeri (1853-1895).

Konflik mula timbul apabila sistem kasta diwujudkan berasaskan pemilikan ternakan dan tanah. Sistem diwujudkan kerana dikatakan etnik Tutsi berasal dari keturunan Caucusoid yang lebih berjaya dan bertamadun, sedangkan etnik Hutu berasal dari keturunan kulit hitam golongan hamba abdi.

Mudah kata, Raja Mwami mengangkat etniknya sebagai kaum yang tinggi kastanya sedangkan etnik Hutu disifatkan bangsa yang lemah dan kelas bawahan. Di sinilah bermulanya perpecahan perpaduan kaum di Rwanda.

Mayat bergelimpangan di serata Rwanda ketika 100 hari berlakunya tragedi penghapusan etnik Tutsi.

Apabila pemerintahan beraja tamat dan diganti dengan kedatangan penjajah, sistem perbezaan kasta itu masih diteruskan.

Ketika Belgium menjajah Rwanda, mereka mengamalkan dasar pengelasan terhadap kedua-dua etnik ini. Etnik Tutsi diberi pelbagai jawatan dalam pentadbiran dan diberi pelbagai keistimewaan. Sedangkan etnik Hutu disifatkan sebagai golongan kerahan tenaga. Mereka dipandang sebagai kelas bawahan.   

Keadaan ini bukan membantu penyatuan kedua-dua etnik ini, sebaliknya semakin mencambahkan barah yang sedia ada. Etnik Hutu mula menyimpan dendam terhadap etnik Tutsi.

Ini ditambah apabila penjajah memperkenalkan sistem kad pengenalan pada tahun 1933 untuk memudahkan proses mengenal antara etnik Tutsi dan Hutu. Kad ini sebenarnya adalah untuk tujuan diskriminasi.

Dengan kad ini, ia memudahkan pihak kolonial untuk menyisihkan etnik Hutu daripada sistem pentadbiran, sehingga mengakibatkan ketidakseimbangan sosial, politik dan ekonomi antara kedua-dua kaum ini.

Awal tahun 1960-an, gelombang kemerdekaan tersebar di benua Afrika untuk menentang penjajahan. Pengaruh ini turut membuat rakyat Rwanda bangkit menuntut kemerdekaan dari Belgium.

Kerana ditentang etnik Tutsi, sang penjajah beralih arah memberi sokongan kepada etnik Hutu, lantas menyemarakkan lagi permusuhan antara kedua-dua etnik ini.

Kematian pemimpin politik Hutu bernama Dominique mencetuskan perang antara kedua-dua etnik pada penghujung tahun 1959. Etnik Hutu bertindak membunuh kaum Tutsi. Ribuan orang terkorban. Kebanyakan etnik Tutsi melarikan diri ke negara jiran.

Ramai kanak-kanak tinggal sebatang kara apabila keluarga mereka terbunuh.

Pada 1 Julai 1962, Rwanda mencapai kemerdekaan. Parti pimpinan etnik Hutu mendapat mandat kuasa untuk memerintah Rwanda. Sepatutnya, kemerdekaan ini menjadi peluang untuk kesemua kaum bersatu. Tetapi sebaliknya yang berlaku.

Sentimen kebencian terhadap Tutsi disemai semasa pentadbiran Presiden Gregoire Kayibanda yang memegang tampuk pemerintahan dari 1961 hingga 1973. Kayibanda memainkan ideologi rasis dan melakukan pelbagai propaganda untuk meningkatkan kebencian terhadap etnik Tutsi.

Apabila Presiden Juvenal Habyarimana mengambil alih tampuk pemerintahan, perang saudara antara etnik Hutu dan Tutsi meletus pada tahun 1990. Namun, pada Ogos 1993, perjanjian perdamaian dimeterai antara pihak kerajaan dan puak pemberontak Tutsi, menandakan sengketa antara kedua etnik itu mulai reda.

Satu piagam ditandatangani yang menyatakan, sistem pemerintahan Rwanda tidak boleh lagi dikuasai oleh kaum Hutu seratus peratus.     Sayangnya, perjanjian itu hanya sekadar sekeping kertas yang tidak membawa sebarang makna.

Pesawat yang membawa Habyarimana, terhempas. Kematian presiden etnik Hutu itu akhirnya mencetuskan pembantaian penghapusan etnik Tutsi sehari selepas insiden itu.

TARIKH 6 April 1994, sebuah pesawat yang membawa Habyarimana dan Cyprien Ntar, Presiden Burundi (negara jiran Rwanda) telah ditembak dan akhirnya terhempas, mengorbankan kedua-dua pemimpin tersebut. Insiden inilah akhirnya menjadi pencetus kepada genosid – pembunuhan dan pembantaian untuk menghapuskan sesuatu bangsa!

Kematian Presiden Habyarimana dari suku Hutu dijadikan asbab untuk etnik Hutu bertindak. Hanya sehari selepas insiden pesawat itu terhempas, laungan sentimen anti-Tutsi meletus.

Warga Hutu keluar ke jalanan, mencari sesiapa saja etnik Tutsi lalu membunuh mereka di situ juga, tidak kira lelaki, wanita mahupun kanak-kanak! Mereka memukul, menikam, menyembelih dan mengerat sewenang-wenangnya etnik Tutsi.

Dalam masa sehari, Rwanda dipenuhi dengan mayat bergelimpangan di serata tempat. Negara ini bertukar menjadi neraka yang mengerikan. Ratusan ribu rakyatnya terutama etnik Tutsi terpaksa melarikan diri, mencari perlindungan ke negara jiran.

Keadaan ngeri ini berlaku selama 100 hari. Dianggarkan dalam tempoh itu, antara 800 ribu sehingga ke sejuta nyawa melayang. Kebanyakannya adalah etnik Tutsi.

Sewaktu kejadian pembantaian etnik, mayat bergelimpangan di sana sini.

Dan dua foto terawal dalam kisah di atas tadi adalah antara ribuan foto menyayat hati yang dirakam, kesan daripada pembantaian etnik tersebut. Banyak mayat bukan saja terbiar di jalanan, ada yang dicampak ke dalam sungai. Golongan wanita Tutsi pula dirogol sebelum dibunuh kejam.

Bayangkan, kadar pembunuhan setiap hari di Rwanda ketika itu adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding pembantaian kaum yang pernah dilakukan oleh Hitler. Dan ia merupakan yang paling buruk dalam sejarah abad ke-20 hingga kini.

Dalam tempoh 100 hari itu, secara purata setiap hari dianggarkan hampir dua ribu nyawa melayang. Anak-anak kecil hilang ibu ayah. Kem-kem pelarian di sempadan negara jiran juga setiap hari dipenuhi mayat-mayat pelarian yang mati kerana diserang wabak penyakit dan kekurangan makanan.

Kawasan pergunungan Gisozi menjadi antara tempat perkuburan paling besar. Lebih 250 ribu rakyat tidak berdosa ditanam di situ.

Ketika rakyat Rwanda dibunuh hidup-hidup, dunia ketika itu hanya berdiam diri. Hanya pada 4 Julai 1994, barulah pembantaian ini berakhir apabila Barisan Patriotik Rwanda (RPF) berjaya menawan bandar Kagali daripada puak pemberontak Hutu. 

Tamatnya perang, rakyat Rwanda mula bangkit dan belajar daripada kesilapan lalu untuk membina semula negara yang telah musnah akibat sengketa etnik.

Kerajaan pasca baru selepas episod hitam itu menghapuskan segala sistem lama dan mewujudkan sistem pemerintahan baru yang menyeimbangkan kepentingan semua kaum.

Perlembagaan baru diperkenalkan untuk mengikat perpaduan kaum di Rwanda. Manakala tribunal khas ditubuhkan bagi menyiasat dan menangkap individu yang memainkan peranan mencetuskan genosid. 

Lihatlah, betapa krisis perkauman telah memusnahkan sebuah negara sekelip mata. Sikap rasis yang ditanam akhirnya menjadi barah yang merebak dan menghancurkan.

Lihat wajah anak-anak kecil itu, mahukah kita jadi seperti itu? Fahamkan mengapa perpaduan itu penting dalam menjamin keamanan negara. Tiada siapa mahu sejarah hitam yang pernah menimpa Rwanda terjadi semula walau di mana-mana negara sekalipun. Oleh itu, hargailah perpaduan yang kita ada.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This