Kuala Kangsar – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan Taman DurioTourism seluas 39.52 hektar yang terletak di Kuala Kangsar, merupakan tarikan baharu agro pelancongan sambil menikmati Durian dan buah-buahan tempatan segar terus dari ladang bertemakan Dusun Village.
MARDI Kuala Kangsar telah mengetengahkan lima konsep iaitu teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi, dengan objektifnya memindahkan teknologi durian MARDI kepada orang ramai yang mengunjungi Taman Agro ini.
Menurut Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani “DurioTourism ini telah dilancarkan pada 2017, berkonsepkan pelancongan dalam ladang durian. Ia bukan sekadar, tertumpu kepada durian sahaja malah, pengunjung turut di bawa melawat ladang mesta, manggis, limau bali dan rambutan. Di akhir lawatan, pengunjung akan dibawa menikmati durian segar,” ujarnya membawa media merasai sendiri suasana di Taman DurioTourism.
Lawatan media ke Taman DurioTourism turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup. Dalam sesi lawatan tersebut, Arthur Joseph turut diberikan penerangan mengenai teknologi pengendalian lepas tuai durian segar. Buah bermusim seperti durian memerlukan teknologi untuk memelihara dan memanjangkan jangka hayat semasa penyimpanan dan pemasaran.
Tegas Arthur Joseph, konsep agro pelancongan ini mempunyai potensi yang besar mengintergrasikan pelancongan dengan sektor pertanian dan ia merupakan tarikan untuk mempelajari proses penanaman dan dapat merasai buah segar dari ladang.
“Konsep agro pelancongan ini disambut baik oleh kementerian, kita ada satu program geran agro pelancongan dengan bantuan berbentuk geran sehingga RM200 ribu dan pihak kami sentiasa mengajak pengusaha-pengusaha ini untuk memohon geran ini, “ jelasnya yang yakin usaha ini dapat menarik pelancong tempatan mahu pun luar negara.
Terdapat lebih daripada 20 jenis durian klon dan kampung ditanam antaranya durian hibrid MARDI seperti MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189) dan MDUR 88 (D190) yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dari pengunjung dan penanam durian di seluruh negara.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

