Memilih kombinasi antara budaya dan masakan, El Ocho Mexican Eatery bersama MN Coffee bakal menjadi tarikan gastronomi untuk food lover yang sukakan hidangan Mexico serta keenakan secawan kopi.
Terletak di No 35, Jalan Kampung Hulu, Kampung Hulu, Melaka, gabungan ini mempromosikan inklusiviti budaya dari berbagai latar belakang untuk menikmati masakan Mexico dengan lebih selesa memandangkan kafe ini merupakan kafe milik penuh Bumiputera dan halal.

Menurut CEO dan pengasas Gula Cakery Group, Arieni Ritzal, El Ocho Mexican Eatery menawarkan menu yang kaya dengan pelbagai pilihan, termasuk tacos enchiladas, dan quesadillas, yang semua disiapkan menggunakan bahan-bahan segar dan rempah asli.
Antara menu yang menjadi pilihan para pelanggan termasuklah Pulled Beef Tacos,  satu hidangan Mexico yang menawarkan kombinasi tekstur lembut daging yang telah dimasak perlahan dan kekayaan rasa yang luar biasa.

Hidangan ini bukan hanya menarik dari segi rasa tetapi juga mudah disesuaikan dengan pelbagai selera dan bahan tambahan, menjadikannya pilihan popular di El Ocho Mexican Eatery. Selain itu, setiap menu yang dihidangkan telah digabungkan dengan citarasa tempatan untuk memenuhi selera tempatan.

MN Coffee, di sisi lain, akan menyajikan pelbagai pilihan kopi, dari espresso klasik hingga kreasi kopi khas lokal. Kedua-dua tempat ini dirancang dengan suasana yang nyaman dan dekorasi yang menarik, menciptakan ruang yang sempurna untuk makan santai atau bersantai sambil menikmati kopi.

Tambahnya lagi, El Echo Mexican Eatery ditubuhkan selepas salah seorang cef di Gula Cakery Group mempunyai kemahiran menyediakan hidangan Mexico. Memandangkan dirinya juga amat meminati hidangan Mexico yang kaya dengan kepelbagaian rempah ratus, El Echo Mexican Eatery dibuka secara rasminya pada 2022 di Setia Alam, Selangor.

