PELAKON Imuda kini bergelar Datuk apabila menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Pulau Pinang, pada Selasa.
Imuda atau A Rahim Muda,65, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai kejayaan dalam karier seninya yang sudah menjangkau 40 tahun.
“Ribuan terima kasih atas ucapan kepada saya kerana menerima anugerah daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” katanya.
Imuda antara 103 penerima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri tahun ini.
Selain bergelar pelakon, Imuda yang merupakan seorang pelukis dan karyanya pernah diterbitkan dalam komik Gila-Gila, Berita Minggu dan Gelihati.
Malah, Imuda yang popular menerusi sitkom Pi Pi Tang Tu itu juga pernah membintangi filem seperti Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal dan Mat Gelap.

