Siri Khas: Perkataan Sunnah cuplikan dari lisan Rasulullah s.a.w.

Dari Penulis

Ahl Sunnah wa al-Jama’ah bukanlah merujuk kepada nama parti politik atau mazhab baharu yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syara’ yang banyak.

Perkataan sunnah menurut pengertian bahasa ialah “tariqah” atau “sirah”. Ia membawa maksud jalan atau cara yang dilalui atau diikuti sama ada baik atau buruk, atau juga adat yang biasa dilakukan sama ada baik atau buruk.

Bagi istilah al-Sunnah, Baginda s.a.w. pernah mengungkapkannya dalam beberapa hadis, antaranya:

Pertama: Diungkapkan dengan makna wahyu yang selain daripada al-Quran. Baginda bersabda,

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi mana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi Nya” (HR al-Baihaqi & al-Hakim)

Kedua: Istilah al-sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Quran mahupun sunnah Rasulullah s.a.w. dan ijtihad para sahabat. Antaranya sabda Baginda s.a.w.

“Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin” (HR Abu Daud, al-Tirmizi & Ahmad)

Ketiga: Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid’ah yang dilarang. Antaranya hadis yang menegah tiga orang sahabat yang berhasrat untuk solat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Sabda Baginda s.a.w.

“Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu. Paling bertakwa dalam kalangan kamu kepada Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku ia bukan dari kalanganku” (HR Bukhari)

Demikian juga hadis Rasulullah s.a.w. mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya,

“Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya” (HR Bukhari & Muslim)

Berpandukan dari dalil-dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa perkataan al-Sunnah bukanlah istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah s.a.w. sendiri.

Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Quran, namu begitu terdapat konotasi al-sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah s.a.w. sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya firman Allah S.W.T

“Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa juga yang dilarang Nya kamu melakukan maka patuhilah larangan Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa Nya (bagi orang yang melanggar perintah Nya” (surah al-Hasyr: 7). Wallahu a’lam

Oleh: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (E-book: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah siapakah mereka?)

__________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This