Berkarya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat akan kesan buruk penggunaan gajet pintar, Tan Kien Eng menerusi karya seni berjudul “Blue Light, Sleep Deprived” bertujuan untuk mencetuskan perbualan serta tindakan mengenai kesan buruk masa skrin malam yang berpanjangan dan kekurangan tidur.
Pameran yang berlangsung dari 27 Julai hingga 31 Julai 2024, di Aras M, Menara Ken TTDI ini juga bertujuan mengumpul sumbangan melalui hasil lelongan seni untuk organisasi seperti Hospis Malaysia, Humankind untuk kesihatan mental, dan Women’s Aid Organisation (WAO).

Menurut Tan, menjadi kebiasaan rakyat Malaysia untuk tidur lambat dan kurang waktu tidur. Malah menurut Asian Journal of Medicine and Health Sciences, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia dan masalah tidur lain. Kekurangan tidur bukan sahaja membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan, tetapi juga memberi kesan kepada kesihatan fizikal seperti diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular, dan obesiti.

Pameran ini menampilkan 11 lukisan, tiga arca seramik, dan tiga pemasangan bantal berbentuk manusia bersaiz hidup. Tan Kien Eng menjelaskan bahawa pameran ini menonjolkan peningkatan masa skrin pada waktu malam, ketakutan terlepas peluang (FOMO), dan ketagihan media digital yang mengganggu sistem sirkadian kita.

Cahaya biru dalam karya seni mewakili peranti moden seperti telefon pintar, tablet, komputer, dan TV. Dengan menggunakan seni sebagai medium, Tan berharap dapat menyedarkan orang ramai tentang kesan negatif masa skrin yang berlebihan terhadap kesihatan tidur dan kesejahteraan kita.

Tan Kien Eng, yang tersenarai dalam Orang Paling Berpengaruh Tatler Asia pada tahun 2021, mempunyai kerjaya lebih 35 tahun sebagai Pengarah Kreatif Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif di agensi pengiklanan multinasional.
Beliau telah memenangi lebih 300 anugerah kreatif termasuk empat anugerah emas Cannes, dan telah memberikan sumbangan besar kepada pelbagai kempen kesedaran untuk organisasi seperti Women’s Aid Organisation dan WWF.

