‘Mak esah’ antara warna warni pentas Precious Of Malaysia

Dari Penulis

Pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week, berlangsung meriah dengan warna warni peragaan yang dipersembahkan.

Namun dakwaan ‘mak esah’ dengan tularnya video seorang wanita berselubung kain hitam dan berperwatakan seperti  bomoh muncul membawa jenama Kin By Nik membawa pelbagai persoalan.

Menurut Nik Amri, salah faham itu timbul apabila ada yang tidak menonton video penuh dan keseluruhan situasi ketika itu.

“Iya, memang saya bawa wanita tersebut dalam pertandingan itu. Tetapi tugasnya untuk berlakon sahaja yang merupakan gimik persembahan saya sebelum menampilkan koleksi penuh Kin By Nik.

“Asap yang dibawakan wanita itu bukanlah kemenyan, sebaliknya ais kering dan diserikan taburan bunga Melur.

“Tidak ada perbuatan khurafat sebaliknya hanya gimik persembahan bagi memeriahkan lagi acara itu. Saya masih tahu dosa pahala sebagai orang Islam.

“Saya pun tak salahkan sesiapa kerana mereka tak tahu konsep sebenar dan tidak melihat keseluruhan gimik yang  dibuat dalam pertandingan itu.

“Sebenarnya, dalam persembahan itu terdapat tiga individu yang tampil berselubung di pentas merupakan rakan penari daripada Antava Projects. Jika kami benar-benar bomoh, sudah pasti akan menggunakan kelebihan tersebut untuk meraih kejayaan lebih besar!

“Sebelum ini pun, Kin by Nik sentiasa tampil dengan elemen dramatik dalam setiap rekaan dan persembahan pentas.

“Untuk Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week tahun ini, sedikit elemen konseptual teaterikal umpama upacara membuka panggung dan meraikan tetamu dimulakan dengan taburan bunga klasik yang sinonim dengan adat Melayu iaitu bunga Melur.

“Bunga Melur, yang biasanya mewangi pada waktu senja pula dipilih sebagai simbol kesucian, kemurnian dan keindahan,” tambahnya.

Menurut Nik lagi, gimik yang dibuat itu mengikut konsep koleksinya yang diberi nama Sore Soirée.

“Sore Soirée menggabungkan dua konsep yang mana ‘sore’ bermaksud senja, masa antara lewat petang dan awal malam ketika matahari mulai terbenam.

“Manakala ‘soirée’ pula boleh diterjemahkan sebagai majlis malam atau pertemuan malam. Ia merujuk kepada acara atau perjumpaan yang diadakan pada waktu malam dalam suasana penuh elegan.

“Konsep ini menunjukkan transisi waktu senja menuju malam. Persembahan dimulakan dengan gerakan misteri dan suntikan elemen mistikal untuk membangkitkan mood sebelum persembahan fesyen bermula.

“Saya tegaskan sekali lagi, tiada sebarang ritual pembomohan pada acara pertunjukan fesyen kerana ia sekadar gimik persembahan untuk tampil berbeza dengan pereka fesyen lain,” ulasnya.

Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week telah mengiktiraf Kin by Nik menerusi anugerah Best Showcase tahun ini.

Jika diteliti, konsep persembahan rekaan fesyen oleh Kin by Nik kali ini mengolah konsep senja glamorama malam diibaratkan satu majlis mewah penuh gemerlapan pada waktu senja.

Sebanyak lapan rekaan dipersembahkan menggabungkan inspirasi daripada rekaan tradisional Melayu seperti baju kebaya Kota Bharu, Baju Kebaya Riau, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Melayu Teluk Belanga dan Kurung Kedah.

Rekaan juga dimodenkan dengan menggunakan fabrik seperti PVC, faux leather, vinyl, poliester, tulle dan faux fur.

Beberapa rekaan moden seperti sut lelaki, jaket panjang dan ball gown turut menjalinkan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik songket.

Selain itu, tiga jenis destar lelaki, Tanjak Cogan Daun Kopi, Tanjak Gajah Melaung dan Tanjak negeri Pahang juga diangkat dalam persembahan kali ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keanggunan songket maroon burgundy, sentuhan eksklusif Man Kajang di majlis resepsi anak Che Ta, Ammar Effendy & isteri

DUNIA fesyen tanah air sekali lagi terpukau dengan keindahan busana pengantin yang digayakan oleh pasangan yang menjadi tumpuan ramai,...

More Articles Like This