Pempengaruh dan usahawan popular Hafiz Mahamad tampil menjawab dakwaan pengguna media sosial mengenai aksinya ketika di Tanah Suci Mekah yang tular sebelum ini menerusi hantaran video berkolaborasi bersama Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr. Kamilin bin Jamilin.
Video yang baru dimuatnaik di seluruh platform media sosial Hafiz Mahamad dan Dr. Kamilin itu ditujukan khusus untuk pengguna laman sosial X dengan nama Hindutva Knight (@HPhobiaWatch), kerana telah menimbulkan kekeliruan tentang agama Islam.
Video berdurasi 15 minit itu disertai dengan infografik berbentuk 3D, simulasi ketika berada di hadapan Kaabah dan sari kata Bahasa Inggeris untuk kefahaman umum. Segala input yang dimasukkan ke dalam video tersebut ditelah dirujuk dengan ilmuan hebat iaitu Dr. Kamilin bin Jamilin.
Hafiz ingin menekankan bahawa hantarannya di media sosial hari ini bukanlah cubaan beliau untuk menegakkan benang yang basah atau membersihkan nama beliau, sebaliknya beliau terpanggil kerana itu adalah tanggungjawabnya demi agama untuk membidas dan memperbetulkan kenyataan Hindutva Knight yang telah mengelirukan banyak pihak dan memfitnah agama Islam.
Beliau berharap agar hantarannya di media sosial hari ini dapat ‘kekal’ di Internet dan dijadikan pengajaran serta pedoman buat semua umat Islam di luar sana.
Terdahulu, pengguna laman sosial X dengan nama Hindutva Knight (@HPhobiaWatch) berkongsi semula video yang pernah dimuatnaik Hafiz sebelum ini sebagai bahan fitnah, mendakwa telah berlakunya gangguan berbentuk fizikal dan seksual terhadap golongan wanita ketika berada di kota suci Mekah.

