PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah akhirnya membuka kisah sebenar ibu mentuanya menjadi punca dia melarang anak-anaknya bertemu dengan datuk dan nenek mereka.
Ujar Bella atau Dayang Ara Nabella Awang Astillah,30, dia terkilan dengan kata-kata ibu kepada bekas suaminya, Aliff Aziz itu terhadap dua anaknya.
“Buat sementara waktu ni berilah kami ruang. Jauhkanlah diri kalian. Cukuplah panggilan video hari itu buat pertama kalinya menjadikan saya takut sebab mak mentua cakap apa pada Ayden ketika panggilan video?
“Allahu, bang (bapa mentua) tengok muka Ayden tu kesiannya muka dia risaukan daddy dia, muka dia tertekan. Masya-Allah, Ayden sayang jangan risaukan Daddy ya, dia okay Insya-Allah,Ayden hanya perlu doakan Daddy saja ( saya ada rakam video sewaktu panggilan video).
“Inilah antara sebabnya, kerana ayat-ayat macam ini hanya akan menganggu fikiran budak kecil walhal dia tak ada pun fikiran sebegitu,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Pada masa sama, Bella menegaskan tidak terlintas di fikirannya untuk memisahkan kasih sayang anak dan bapa.
Malah, dia hanya ingin menjaga kesihatan mental anak-anaknya yang masih kecil dan membesar dalam suasana positif.
“Alhamdulillah mereka gembira sahaja sebab sudah terbiasa memang selalu dengan saya. Saya yang banyak uruskan mereka daripada bayi sehingga sekolah, daftar sekolah semuanya saya.
“Bukan mudah untuk semuanya kembali seperti tiada apa-apa berlaku. Sedangkan mama dan umi semua sudah sepakat, jika ada perbalahan antara saya dan Aliff kalian tidak akan masuk campur supaya mudah untuk kedua belah pihak di masa kedepannya bagi menguruskan soal cucu.
“Tapi berlaku sebaliknya, Puan Fiza sudah musnahkan semuanya. Saya merayu jangan cakap saya gunakan anak-anak sebagai alasan. Saya menjaga kesihatan mental dan ketenangan anak-anak untuk membesar dengan baik dan positif. Saya pernah gunakan anak-anak dulu pun bekas suami tetap tak balik rumah.
“Jangan risau, anak-anak tetap kenal bapa mereka. Saya juga tahu soal hukum memisahkan anak dengan bapa, saya tak pernah cakap nak pisahkan mereka, saya cuma cakap buat masa ini. Insya-Allah, satu hari nanti pasti akan baik-baik sahaja,” tulisnya lagi.
Sehingga kini, kata Bella, dia masih belum menerima permohonan maaf daripada bekas ibu mentuanya.
“Di manakah akal fikiran dan sifat keperimanusiaan kamu? Saya bersabar setiap hari.
“Kamu sindir saya setiap hari walaupun kamu cakap itu adalah hantaran umum tapi rakyat Malaysia cukup bijak walaupun mereka sendiri tahu itu semua untuk saya.
“Saya telan semuanya. Sekiranya anak awak tidak berkomplot merancang perkara jahat semua ini tidak akan terjadi. Kami pasti boleh berpisah secara baik.
“Sehingga hari ini tiada kata maaf daripada anda sekeluarga, perli saya dengan membuat video-video sarkastik melalui media sosial tentang kereta dan sebagainya,” ujarnya.
Sebelum ini, ibu kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza berkongsi petikan ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai melarang anak-anak daripada berjumpa dengan kedua ibu bapa mereka.
Hafiza berpendapat penceraian yang berlaku di antara pasangan suami isteri juga tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memisahkan anak-anak dengan ibu bapa mereka.
Pada Julai lalu, Aliff, 33, dan Hafiza ada memuat naik beberapa hantaran di media sosial mengenai kerinduan mereka terhadap Ayden dan Ara.
Untuk rekod, Bella dan Aliff bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Selepas melafazkan cerai, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh dua anaknya iaitu Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4 tahun kepada Bella.

