
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, selagi parti itu belum menjadi dominan dalam pilihan raya, beliau akan terus bersama rakan-rakannya untuk memperkukuhkan UMNO.
‘’Saya bukan mahu menongkat langit, tetapi apabila kita menjadi parti dominan, barulah ambil langkah seterusnya. Sekarang setiap bahagian pemuda pemudi dari cawangan seluruh negara perlu terjemahkan visi tasawuf, ini adalah tanggungjawab bersama,’’ kata Timbalan Perdana Menteri itu di Mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands pada Sabtu lalu.
Kembali menjadi dominan sememangnya cita-cita UMNO selepas kehilangan nikmat itu apabila ia dirampas oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14. PH memerintah hanya 22 bulan berikutan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Selepas itu UMNO bergabung bersama Bersatu dan Pas untuk menubuhkan kerajaan tetapi Ahmad Zahid tidak dibawa masuk ke dalam Kabinet kerana ada kes mahkamah melibatkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Untuk rekod, pada 4 September 2023 Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid yang ketika itu sudahpun menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan daripada kesemua pertuduhan itu.
Gabungan kerajaan Bersatu, UMNO, Pas itu menyaksikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selama 18 bulan sebelum beliau terpaksa meletakkan jawatan disebabkan hilang sokongan majoriti di Parlimen.
Peletakan jawatan Muhyiddin membolehkan UMNO kembali memegang jawatan Perdana Menteri biarpun parti itu ditolak rakyat dalam PRU-14. Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalankan tugas itu dalam keadaan berhadapan dengan tekanan dalaman untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.
Ahmad Zahid antara pemimpin yang berkali-kali bercakap bahawa PRU-15 perlu diadakan segera. Biarpun pada mula Ismail Sabri cuba bertahan namun beliau akhir akur dengan arahan parti untuk membubarkan Parlimen.
Sebenarnya, peluang UMNO untuk kembali dominan terbuka pada PRU-15 tetapi malangnya ramai pemimpin kanan parti itu yang popular ‘disingkirkan’ sebelum pilihan raya tersebut. Akhirnya, UMNO kalah lagi pilihan raya dengan rekod lebih buruk hanya menang 26 kerusi. Bagaimanapun UMNO kembali berada dalam kerajaan bersama PKR, DAP dan Amanah tetapi bukan sebagai parti dominan sebaliknya parti pelengkap dengan 30 kerusi termasuk kerusi komponen BN.
Namun tiada apa yang boleh dibanggakan oleh UMNO, kalau berada di dalam kerajaan tetapi tiada Ahli Parlimen di Perlis,Kedah,Selangor,Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang. UMNO-BN kalah semua kerusi Parlimen di negeri-negeri itu.
Keghairahan pemimpin UMNO untuk bekerjasama dengan PH-DAP dengan bersandarkan hujah akur ‘titah diraja’ bagi menubuhkan kerajaan sedangkan berpeluang berbuat demikian bergabung sekali lagi dengan Bersatu dan Pas ternyata memberi kesan kepada parti tersebut apabila pilihan raya 6 negeri (PRN) diadakan pada 6 Ogos 2023.
PRN itu melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Selepas di Perlis, UMNO tiada wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), keadaan parti itu semakin parah apabila tewas di semua kerusi DUN di Kedah dan Terengganu. Di Selangor, BN hanya menang 6 kerusi, di Kelantan (1 Kerusi), di Negeri Sembilan (14 kerusi) dan di Pulau Pinang (2 kerusi).
UMNO kini menguasai Melaka dan Johor, itupun disebabkan pilihan raya di kedua-dua negeri itu diadakan sebelum PRU-15 iaitu pada 20 November 2021 di Melaka dan 12 Mac 2022 di Johor ketika UMNO. Di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang, UMNO terpaksa mengharapkan ehsan PH untuk menerajui atau berada dalam kerajaan kerana tiada kerusi majoriti untuk menubuhkan kerajaan secara bersendirian.
Di Negeri Sembilan, UMNO menguasai 14 kerusi berbanding PH 15 kerusi manakala Perikatan Nasional 5 kerusi. Lanjutan itu, jawatan Menteri Besar kekal milik PH manakala di Perak dan Pahang atas ehsan PH, UMNO menjadi Menteri Besar.
Penulis mengimbas kembali keputusan keputusan PRU-15 dan PRN ini bagi mengingatkan UMNO yang akan mengadakan Perhimpunan Agung parti minggu depan bahawa mereka tidak harus melupakan pencapaian paling buruk dalam sejarah itu dan tidak boleh leka atau dibuai dengan keseronokan serta keterujaan berkongsi kuasa dengan PH-DAP dalam kerajaan.
Pada masa ini, tidak ada tanda-tanda UMNO akan mampu bangkit kembali. Selain pilihan raya di 6 negeri, beberapa keputusan PRK juga menyaksikan UMNO semakin ditolak bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga ahli UMNO sendiri.
Walaupun cuba menutupi gejolak dalam UMNO berikutan kerjasama dengan DAP namun ia ibarat meminta orang meneka haiwan apakah ini dengan menunjukkan gambar gajah yang ditutup matanya. Ia kerja sia-sia sebab perasaan tidak puas hati ahli UMNO berhubung kerjasama itu tidak boleh disembunyikan lagi.
Atas sebab itulah apabila Ahmad Zahid kata, selagi UMNO tidak dominan dalam pilihan raya beliau dan rakan-rakan akan terus berjuang perkukuh parti itu, ramai tertanya-tanya apa maksud beliau.
Adakah dominan dalam pilihan raya bermaksud jumlah kerusi bertanding atau menjadi parti menang paling kerusi seperti kedudukan DAP dalam kerajaan sekarang? Kalau dominan dari segi jumlah kerusi bertanding, parti Amanah pun dulu nampak dominan dalam PH apabila bertanding 54 kerusi Parlimen dalam PRU-15 tetapi menang 11 kerusi sahaja.
Kalaulah UMNO yang Zahid sudah menyatakan komitmen akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRU16 mahu dominan dari segi kerusi dimenangi adakah PH khususnya DAP akan membenarkannya? Adakah pemimpin PKR akan mengizinkannya dan Amanah akan merestuinya? Kalau UMNO menang dan jadi dominan sudah tentulah jawatan Perdana Menteri akan disandang oleh Ahmad Zahid seperti mana satu unjuran yang didedahkan oleh Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada 7 Ogos lalu?
Kata Khairy dalam podcast Keluar Sekejap menerusi unjuran yang didakwa dibentangkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden UMNO (Ahmad Zahid) akan jadi Perdana Menteri Ke-11 manakala Anwar akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Andaian tersebut dibuat berdasarkan kemungkinan jumlah kerusi dimenangi oleh BN-PH jika menggunakan formula 1-1 ialah 182 daripada 222 kerusi Parlimen yang bakal menyaksikan UMNO diunjurkan menang 49 kerusi, PKR 41 kerusi, DAP 40 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
Setakat ini tidak ada komen daripada pemimpin UMNO berhubung unjuran yang didedahkan oleh Khairy tetapi yang pasti, kalau betul ia dibuat oleh ‘think tank’ UMNO, ia membuktikan UMNO bergantung kepada PKR, DAP dan Amanah untuk kembali menjadi dominan.
Khairy juga mendakwa unjuran itu dibuat bagi melembutkan hati akar umbi UMNO menerima naratif kerjasama BN-PH. Namun UMNO terlupa bahawa nyawa politik UMNO bukan sahaja terletak kepada ahli UMNO semata-mata tetapi pengundi lain juga. Sejarah sudah membuktikan 3.4 juta ahli tidak membawa erti apa-apa kepada parti itu kerana kalah juga dalam pilihan raya kerana ditolak oleh rakyat.
Sebenarnya untuk kembali menjadi dominan sama ada dalam pilihan raya mahu menjadi kerajaan, UMNO memerlukan perubahan dalam barisan kepemimpinannya dan mengkaji semula hubungan dengan PH-DAP.
Keputusan itu harus diserahkan secara mutlak kepada 3.4 juta ahli UMNO menentukannya bukan diputuskan oleh ketua-ketua bahagian. Selagi ini tidak dilakukan, percaya UMNO tidak akan dominan, UMNO tidak akan ke mana-mana dan tidak mustahil, bak kata seorang kawan ‘akan disapukan kapur barus’ pada PRU-16 nanti.

