KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memperkasakan reformasi demi meningkatkan sektor tenaga dan air dalam negara.
PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan menyambut baik aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus komited memperkasakan perkhidmatan awam sebagai tunjang kemajuan negeri.
Menurut kenyataan tersebut, PETRA menyokong tiga intipati utama reformasi perkhidmatan awam yang diumumkan dengan berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan melalui penerapan teknologi dan proses inovatif dalam pengurusan tenaga dan air.
“Di samping itu, PETRA juga komited untuk mempersiapkan pegawai dalam menghadapi perubahan dengan menyediakan latihan berterusan dan peluang pembangunan profesional.
“Dengan pendekatan ini, PETRA yakin dapat memperkukuhkan daya saing negara melalui inisiatif yang menyokong pertumbuhan mampan dan kecemerlangan dalam sektor kritikal ini,” jelas kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memaklumkan, pelarasan gaji yang diumumkan oleh kerajaan bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan persekitaran kerja tetapi juga berperanan penting dalam mengurangkan risiko rasuah dan ketirisan dalam sektor awam.
Jelas kenyataan itu, dengan pendapatan yang relevan dan kesejahteraan yang lebih terjamin, pegawai awam akan kurang terdedah kepada tekanan kewangan yang boleh mendorong kepada amalan tidak beretika.
“Ini seterusnya akan menggalakkan budaya integriti dan akauntabiliti yang lebih kukuh, serta memastikan sumber awam digunakan dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab,” jelas PETRA.
Kenyataan itu menambah, usaha kerajaan memperkenalkan penambahbaikan kemajuan kerjaya bagi pegawai gred 41 hingga gred 48 melalui kenaikan pangkat secara Khas untuk Penyandang (KUP) dijangka memberi manfaat kepada lebih 342 orang pegawai di Jabatan dan agensi di bawah PETRA, terutamanya dalam skim perkhidmatan tertutup di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).
Menurut PETRA, langkah pengiktirafan pegawai sebagai Subject Matter Expert (SME) dalam bidang kritikal seperti peralihan tenaga memberikan PETRA kelebihan untuk memanfaatkan kepakaran dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada konsultan luar.
“Ini juga memastikan laluan kerjaya yang lebih dinamik dan fleksibel kepada pegawai.
“PETRA akan lebih responsif dan terus meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menghargai pengiktirafan yang diberikan seiring dengan komitmen Kerajaan dalam memperkukuhkan sektor awam.
“Dengan sokongan ini, PETRA akan memastikan kecemerlangan dalam pengurusan tenaga dan transformasi air, memacu agenda negara ke arah kemajuan yang lebih pesat dan berdaya saing di peringkat global,” jelas kenyataan itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

