PERHATIKAN foto di atas. Apa kelainan yang anda kesan dalam gambar ini? Gambar ini diambil semasa era kegemilangan parti Nazi di bawah pimpinan Adolf Hitler.
Ketika itu, semua pengikut Hitler wajib melaungkan ‘Seigh Heil’ sambil mengangkat tangan kanan ke hadapan sebagai salah satu cara tabik hormat terhadap Hitler. Tujuannya untuk menunjukkan rasa taat terhadap idealisme Nazi.
Foto ini dirakam pada tarikh 13 Jun 1936 di pelabuhan Hamburg, Jerman, semasa pelancaran sebuah kapal tentera laut. Ketika itu, ratusan orang yang ada di situ memberi tabik hormat, namun ada seorang lelaki yang tidak melakukannya. Sebaliknya hanya berpeluk tubuh. Wajahnya kaku, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Siapa lelaki itu?

August Landmesser – itu nama lelaki yang berani untuk tidak memberi tabik hormat kepada Hitler. Ada satu dendam dan kemarahan yang terpendam dalam hati lelaki ini sehingga dia tidak lagi menyanjung kepimpinan diktator itu.
Landmesser anak jati Jerman, lahir pada 24 May 1910. Pada tahun 1931, dia menyertai Parti Buruh Jerman Sosialis Nasional (NAZI) dengan harapan untuk mendapat pekerjaan.
Sama seperti pengikut lain, Landmesser adalah ahli NAZI yang amat taat dan setia. Dia juga menyanjung kepimpinan Hitler. Namun, kesetiaannya sebagai pengikut musnah apabila cintanya dihalang. Ya, kerana cinta!

PADA awal tahun 1935, untuk pertama kali Landmesser jatuh cinta. Usianya ketika itu 25 tahun. Sama seperti pemuda-pemuda lain, Landmesser turut dibuai lamunan cinta. Hatinya berjaya ditawan oleh seorang gadis Yahudi bernama Irma Eckler.
Di sini masalah bermula. Landmesser sedar Nazi tidak membenarkan hubungan antara bangsa Jerman dan Yahudi. Malah, sudah ramai Yahudi yang dibunuh dan dikorbankan di bawah ideologi Hitler.
Tetapi, cinta Landsmesser terhadap Eckler mengatasi segala-galanya. Dia tidak peduli dengan undang-undang Hitler. Dia bertunang dengan kekasih hatinya. Kemudian, dia cuba mendaftar untuk melangsungkan perkahwinan.
Ketika itu, ‘Undang-Undang Nuremberg’ telah dikuatkuasakan. Di bawah akta undang-undang ini, rakyat Jerman tidak dibenarkan berkahwin termasuk mengadakan hubungan seksual dengan bangsa Yahudi.
Atas sebab itu, permohonan Landmesser untuk mengahwini Eckler ditolak. Mereka tidak dibenarkan berkahwin. Dan kerana menjalin hubungan dengan Yahudi merupakan satu kesalahan, Landmesser dipecat daripada parti Nazi. Dia turut dinasihatkan agar memutuskan hubungannya dengan Eckler.
Tetapi, pemuda itu tidak peduli. Apa yang salah pada cintanya terhadap Eckler. Mengapa sikap rasis NAZI menjadi penghalang untuk dia menentukan pasangan hidupnya.

Hubungan kedua-dua kekasih itu terus berlanjutan. Mereka tinggal bersama dan pada 29 Oktober 1935, lahirlah anak pertama mereka yang diberi nama Ingrid.
Landmesser berusaha menjadikan hubungannya dengan Eckler sah di sisi undang-undang. Usahanya gagal. NAZI tidak berkompromi terhadap Yahudi.
Paparan foto Landmesser pada Jun 1936 yang enggan memberi tabik hormat kepada pimpinan Hitler menunjukkan tanda protesnya yang sudah hilang kepercayaan terhadap NAZI. Apa jadi selepas itu?

PADA tahun 1937, Landmesser membawa Eckler dan anak mereka Ingrid untuk melarikan diri ke Denmark. Tetapi, mereka ditangkap pihak Nazi di sempadan.
Setelah perbicaraan, dia ditahan dan didapati bersalah kerana ‘mencemarkan darah Jerman’ kerana membuat hubungan dengan bangsa Yahudi.
Atas kesalahan itu, Landmesser dipenjarakan pada Julai 1937 sebelum dibebaskan pada Mei 1938 dengan syarat, dia harus memutuskan hubungannya dengan Eckler. Jika tidak, hukuman lebih berat menantinya.
Adakah Landmesser peduli? Tidak!
Mana mungkin dia meninggalkan wanita yang dicintainya. Tambahan pula dengan kehadiran anak mereka. Dia tetap meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.
Benar seperti amaran Nazi, disebabkan masih degil dan terus menjalin hubungan dengan Yahudi, Landmesser ditahan sekali lagi pada Julai 1938, hanya dua bulan selepas dia dibebaskan.
Itu adalah kali terakhir untuk lelaki tersebut melihat wajah wanita yang dicintainya sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setengah dan ditempatkan di kem tahanan Borgermoor.
Selepas Landmesser dipenjarakan, pihak NAZI telah menangkap Eckler yang ketika itu sedang hamil anak keduanya. Wanita itu ditahan atas kesalahan mengadakan hubungan terlarang dengan bangsa Jerman.
Eckler ditahan di penjara Fuhlsbuttel sehingga melahirkan anak keduanya, Irene, di dalam penjara itu. Kemudian, wanita itu dipindahkan dari satu kem tahanan ke satu kem yang lain.


Beberapa pucuk surat dari Eckler untuk ibunya masih sampai sehingga surat yang terakhir diterima pada Januari 1942. Dan selepas itu, tiada lagi khabar berita. Dikatakan, Eckler telah dibawa ke kem tahanan Yahudi di Bernburg dan dipercayai telah dibunuh bersama ribuan tahanan Yahudi yang lain.
LANDMESSER dibebaskan dari penjara pada Januari 1941. Sedihnya berpanjangan, wanita dicintainya telah dihilangkan, tidak lagi dapat dikesan. Bulan Februari 1944, dia dikerah sebagai askar dan telah terkorban dalam pertempuran di Crotia pada Oktober tahun yang sama.
Kerana cinta, Landmesser dan Eckler bersama. Dan kerana cinta juga, mereka dikorbankan atas dasar ideologi rasialisme.
Kedua-dua anak mereka iaitu Ingrid dan Irene telah diserahkan kepada rumah anak-anak yatim. Ingrid kemudian dibenarkan tinggal dengan neneknya (ibu Eckler) manakala Irene diserahkan kepada keluarga angkat.
Pada tahun 1996, Irene telah menghasilkan sebuah buku ‘The Guardian Documents 1935-1958 : Persecution of a Family for Dishonoring the Race’ yang menceritakan perjalanan hidup keluarganya. Buku itu turut memaparkan dokumen-dokumen penting termasuk surat-surat daripada ibunya, Eckler semasa dipenjarakan sebelum terkorban di tangan Nazi.
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

