KONSERT AKB48 Group Live in KL 2024 First Cry menyaksikan satu malam yang penuh dengan kegembiraan di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lebih daripada 2,000 peminat, termasuk dari Jepun, Thailand, dan Indonesia telah berkumpul untuk menyaksikan persembahan memukau daripada lima kumpulan tersebut yang terdiri daripada AKB48, STU48, Quadlips, JKT48, dan KLP48.

Konsert yang julung kali diadakan di Malaysia ini berjaya menawarkan pengalaman yang luar biasa buat peminat.
Sepanjang persembahan lebih daripada tiga jam itu, peminat kelihatan sangat teruja dan menyalakan cahaya ‘glow stick’ mereka sambal diiringi visual yang menarik.

Bukan itu sahaja, peminat turut bersorak dan menyanyi bersama lagu-lagu popular seperti “Catch Me Kiss Me” dan “Overdrive” oleh Quadlips, “Ai no Omosa” dan “Kurayami” oleh STU48, “Rapsodi” dan “Fortune Cookie Yang Mencinta” oleh JKT48, serta “Everyday, Kachuusha” dan “Koi Tsun Jatta” oleh AKB48.
KLP48, yang baharu sahaja mengumumkan ahli generasi pertama mereka, memanfaatkan konsert ini untuk membuat debut yang penuh gaya.
Mereka mempersembahkan video muzik dan lagu pertama mereka, “Heavy Rotation,” dalam bahasa Melayu, serta lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Mandarin, dan Jepun untuk menunjukkan kepelbagaian dan bakat mereka.

Dalam majlis ini, Yi Shyan diumumkan sebagai ketua kumpulan dan KLP48 Official Fan Club turut dilancarkan dengan langganan bulanan RM30 yang memberikan akses kepada kandungan eksklusif.
Sebagai penutup yang meriah, kelima-lima kumpulan naik ke pentas bersama untuk menyanyikan lagu ikonik AKB48, “Aitakatta.”
Selepas persembahan, mereka mengadakan sesi ‘meet and greet’ dengan peminat diikuti dengan perbualan santai bersama beberapa peminat fanatik mereka.
Konsert ini dianjurkan oleh 48 Entertainment dengan sokongan dari iMe Malaysia.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

