NIKMAT kemerdekaan yang dirasai rakyat di negara ini bukanlah sekadar kebebasan daripada cengkaman penjajah dan melaungkan slogan ‘Merdeka!’ semata-mata.
Sebaliknya, nikmat kemerdekaan itu memerlukan pengorbanan jiwa dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri melalui empat aspek utama iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.
Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi kenyataan sempena Hari Kebangsaan 2024.
Sultan Sharafuddin bertitah, sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun perlulah difahami dan dihayati tentang pengertian serta tujuan oleh setiap rakyat di negara ini.
Titah Sultan Selangor, negara memerlukan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama untuk bersama bersemangat membentuk sebuah masyarakat yang teguh dan harmoni berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Sultan Selangor bertitah, generasi muda yang merupakan harapan bangsa dan negara terdedah dengan ancaman penjajahan dalam bentuk baharu yang menyentuh aspek pemikiran dan budaya yang berkembang seiring kepesatan teknologi maklumat khususnya media sosial.
“Justeru itu, generasi muda perlu bijak dalam mendepani dan menyelesaikan segala permasalahan serta cabaran yang mendatang.
“Semangat patriotik, toleransi dan saling hormat-menghormati perlulah terus diterapkan ke jiwa generasi muda dan dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu, keharmonian yang utuh serta bebas dari sebarang elemen negatif.
“Beta yakin dengan penghayatan tentang erti sebenar kemerdekaan ini akan dapat menyuburkan kembali semangat cinta kepada negara demi membentuk sebuah negara yang maju dan progresif,” titah baginda.
Baca artikel lain: PM sempat ke Pulau Pinang sebelum sampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2024
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama bertanggungjawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan rakyat tanpa perlu meracuni fikiran rakyat dengan unsur-unsur negatif terutama isu 3R dalam kita menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Titah baginda, institusi raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah yang berkaitan dengan isu-isu politik.
Sultan Selangor menegaskan, institusi raja adalah above politics (melangkaui politik).
“Oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah dan institusi raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah.
“Beta sering menasihati pemimpin dan ahli-ahli politik untuk mengelak dari mencetuskan politik kebencian, namun demikian budaya negatif ini masih diamalkan oleh sebahagian daripada pemimpin-pemimpin dan ahli politik.
“Walau bagaimanapun, beta tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” titah Sultan Selangor.
Sultan Selangor bertitah, segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik jangan dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara.
Titah baginda, sebaliknya jadikanlah perbezaan tersebut sebagai satu resepi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Usaha-usaha hendaklah dilakukan dengan berhemah bagi mengadakan program-program yang boleh merapatkan semula jurang pemisah demi mengikis segala prasangka buruk di jiwa sebahagian rakyat negara ini.
“Sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama bersatu hati menjadikan negara kita sebagai sebuah negara merdeka yang berdaya saing, maju dan makmur.
“Jauhilah dari segala amalan budaya hasad dengki, fitnah memfitnah serta mengadu domba dan menghasut yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat.
“Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat di negara yang kita cintai ini dapat hidup rukun dan damai,” titah Sultan Selangor.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

