TUJUH daripada 10 rakyat Malaysia mahu penggunaan media sosial diharamkan bagi kanak-kanak berusia bawah 14 tahun, kedua tertinggi selepas Indonesia, menurut kaji selidik oleh syarikat penyelidikan pasaran global, Ipsos.
Dalam kenyataan hari ini, Ipsos mendedahkan bahawa 71 peratus daripada responden Malaysia bersetuju bahawa kanak-kanak bawah 14 tahun perlu dilarang menggunakan media sosial di dalam dan luar sekolah, manakala Indonesia mencatatkan sejumlah 79 peratus.
Kaji selidik itu juga mendapati 51 peratus rakyat Malaysia bersetuju kanak-kanak pada usia sama perlu dilarang menggunakan telefon pintar di dalam dan luar sekolah, manakala 29 peratus bersetuju mereka juga harus dilarang menggunakan ChatGPT.
Mengenai tanggungjawab mengajar celik digital dan topik keselamatan dalam talian, tinjauan mendapati 56 peratus rakyat Malaysia percaya guru dan sekolah harus memikul tanggungjawab itu, manakala 39 peratus bersetuju tanggungjawab itu terletak kepada ibu bapa.
Kaji selidik itu mendapati rakyat Malaysia yakin kualiti pendidikan negara semakin bertambah baik, namun kurang separuh menganggapnya sebagai satu sistem kualiti yang baik.
Baca artikel lain: Muat naik video kanak-kanak di TikTok, Nancy gesa buat laporan polis akaun ‘Abang Bas’
Ini terbukti apabila 44 peratus rakyat Malaysia menilai kualiti keseluruhan sistem pendidikan di negara ini sebagai baik, manakala 25 peratus lagi menganggap ia sebaliknya.
Menurut kenyataan itu, ramai rakyat Malaysia percaya bahawa kurikulum harus memberi lebih penekanan kepada teknologi baharu.
“Di Singapura dan Indonesia, pendapat ramai lebih seimbang dengan sedikit keutamaan untuk kurikulum semasa.
Satu daripada lima rakyat Malaysia percaya bahawa teknologi baharu sudah mengambil terlalu banyak ruang,” menurut kenyataan itu.
Kaji selidik itu juga mendapati 42 peratus rakyat Malaysia bersetuju kurikulum sekolah di negara ini memberi terlalu sedikit ruang untuk teknologi, manakala 27 peratus berpendapat ruang yang mencukupi dan 20 peratus bersetuju terlalu banyak ruang.
Kaji selidik bertajuk ‘Malaysians’ opinions on technology in education‘ itu berdasarkan temu bual dengan lebih 23,754 orang dewasa dalam talian di bawah usia 75 tahun di 30 negara, yang dijalankan dari 21 Jun hingga 5 Julai tahun ini.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

