BEKALAN bahan api di rangkaian stesen minyak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) seluruh negara dijangka stabil dan mencukupi sehingga bulan Ogos.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, jangkaan itu berdasarkan jawapan rasmi yang diterima daripada Petronas.
Menurut beliau, ia sebagaimana yang dilaporkan dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Rangkaian ini merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api domestik negara yang dibekalkan oleh Petronas melalui anak syarikat tersenarai awamnya, Petronas Dagangan Berhad,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Azalina menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung kenyataan Petronas bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyak adalah terjamin hanya sehingga akhir Jun 2026 dan pelan kontingensi kerajaan sekiranya krisis tenaga global berlanjutan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah MTEN telah ditubuhkan bagi memastikan keperluan bahan api negara mencukupi.
Pada masa sama, katanya, pasukan petugas itu juga menyelaraskan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.
Beliau menjelaskan, pasukan itu sentiasa memantau situasi bekalan bahan api, bahan bakar dan tenaga bagi negara.
“Pasukan petugas itu juga memastikan keterjaminan bekalan di bulan-bulan akan datang serta mengawal harga dan mencegah aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.
“Usaha terus dijalankan untuk memperoleh bekalan minyak mentah dari pengeksport di luar Asia Barat seperti dari Afrika barat dan benua Amerika tertakluk kepada kesesuaian gred minyak mentah dan terma komersial berkaitan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

