BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul berjaya menumpaskan sindiket dadah selepas merampas barangan terlarang berkenaan yang dianggarkan bernilai RM59,542 dalam tiga serbuan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah menjalankan risikan ke atas satu sindiket dadah yang bergerak aktif terutamanya di kawasan Sentul dan Kuala Lumpur.
Pihaknya juga percaya suspek sindiket berkenaan telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lepas.
“Serbuan pertama dilancarkan di hadapan pos pengawal Residensi Eco Sky, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan berjaya menangkap seorang lelaki dan seorang perempuan tempatan masing-masing berusia 31 dan 33 tahun.
“Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Kemudian, hasil soal siasat, serbuan kedua dijalankan di sebuah unit di blok A, Residensi Eco Sky.

“Serbuan ketiga pula dijalankan di sebuah lagi unit berlainan di blok A Residensi Eco Sky,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Baca artikel lain: Lelaki ditetak terima 35 jahitan, suspek sudah ditahan – IPD Sentul
Jelas beliau, ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Ketamin.

Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, manakala suspek kedua tiada rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari. Permohonan sambungan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat esok.
“Kes disiasat di bawah seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebutan.
“Hasil dari tangkapan dan rampasan tersebut, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di kawasan Sentul. Anggaran nilai rampasan dadah berjumlah RM59,542,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

