ENGGAN terlibat dengan cinta lokasi, justeru pelakon Bella Astillah sentiasa menjaga batas setiap kali berada di lokasi penggambaran bersama aktor lelaki.
Ujar Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah,30, sebagai manusia biasa, dia berusaha untuk mengawal diri daripada menimbulkan persepsi negatif terhadap rakan gandingannya.
“Kita ini manusia biasa. Selagi boleh kawal perkara itu terjadi (cinta lokasi), saya akan kawal dan elakkan.
“Saya tidak terjebak dengan cinta lokasi sepanjang bergelar pelakon.
“Kalau saya berlakon dengan pelakon lelaki, saya akan mulakan dengan panggilan ‘aku’ dan ‘kau’,” katanya kepada URTV.
Perkara itu turut dilakukan dalam set penggambaran drama Satu Hari Nanti bersama pelakon Ezaidi Aziz dan Shahidan Izwan.

“Ezaidi dan Shahidan sangat menghormati pelakon wanita di set penggambaran. Mereka hanya bergurau sesama sendiri tanpa libatkan orang lain.
“Kami saling hormat kerja masing-masing termasuklah Eyka Farhana.
“Saya dan Ezaidi banyak babak bersama jadinya memang akan banyak masa diluangkan bersama. Sebab itu saya akan akan panggil dia dengan gelaran ‘kau’ dan saya sebagai ‘aku’.
“Di situ akan ada ‘bonding’ sesama kami dan pada masa sama dapat elakkan diri daripada wujudnya perasaan. Di luar waktu bekerja, kami memang tidak akan berjumpa,” jelasnya.
Bella berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Satu Hari Nanti di sebuah kafe di The Curve, Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Drama arahan Pali Yahya itu bakal menemui penonton pada 18 September ini, 9 malam di aplikasi iQIYI.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

