PENYANYI Mawi sanggup ‘mengorbankan’ rambut panjangnya sejak tujuh tahun lalu demi Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in Kuala Lumpur.
Sesi memotong rambutnya itu dilakukan sendiri oleh isterinya iaitu Ekin Rahmat demi janjinya kepada peminat yang bakal menghiburkan mereka pada Januari tahun hadapan.
Mawi atau Asmwai Ani,43, berlapang dada malah tidak kisah untuk mengembalikan semula fenomena Mawi World yang menampilkan dirinya berimej botak.
“Ini merupakan konsert solo kedua saya selepas di Bukit Jalil 20 tahun lalu. Perasaan bila potong rambut tu, kalau tengok anak saya Cahaya Malaika sedih, begitu jugalah saya.
“Imej botak ni sudah sinonim dengan saya sejak awal pembabitan dalam industri hiburan.
“Tapi untuk konsert 20 tahun ini, saya fikir tak apalah untuk korbankan sikit. Imej botak ini akan saya kekalkan sehingga hari konsert nanti,” katanya pada sidang media Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in Kuala Lumpur di Bangi.

Sebelum ini katanya, dia sering dihambat dengan pertanyaan daripada keluarga mengenai imej berambut panjangnya itu.
“Isteri dan keluarga selalu tanya bila nak potong rambut tapi saya tetap pertahankan untuk kekal berambut panjang.
“Tapi rupa-rupanya hari ini saya buat keputusan untuk membotakkan kepala. Ia semua tidak dirancang.
“Saya ‘bela’ rambut panjang ini sejak 2017 untuk filem Munafik 2. Pengarah Syamsul Yusof minta saya berimej rambut panjang dan tak sangka pula selepas itu saya rasa sayang nak potong,” ujarnya.
Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in KL akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

