PELAKON Anna Jobling berjaya mencipta nama di Indonesia selepas terlibat dalam filem sulung arahan Baim Wong berjudul Lembayung. Filem yang dinantikan ramai itu bakal ditayangkan secara rasmi di Indonesia bermula hari ini.
Kejayaan Anna dalam filem ini bukan sahaja memperkukuhkan namanya di pentas antarabangsa, malah membuka pintu kepada lebih banyak peluang di negara seberang.
Anna mendedahkan selepas pembabitannya dalam Lembayung, dia menerima tiga tawaran filem baharu daripada produksi Indonesia yang mempercayai bakat seni yang dimiliki.
“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh industri perfileman Indonesia.
“Selepas filem Lembayung, saya tidak menyangka akan menerima tawaran filem daripada tiga produksi berbeza di sini. Ini adalah peluang besar untuk saya kembangkan bakat dan karier di Indonesia,” katanya kepada URTV.

Pelakon yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu turut berterima kasih kepada pelakon dan pengarah Indonesia iaitu Baim kerana membuka jalan untuknya di Indonesia.
Menurut Anna, tanpa sokongan dan bimbingan Baim, peluang seperti ini mungkin sukar untuk dicapai.

“Baim bukan sahaja seorang pengarah yang berbakat, tetapi juga seorang mentor yang banyak membantu saya. Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam projek yang besar seperti ini.
“Beliau benar-benar membuka pintu rezeki untuk saya di Indonesia,” tambah Anna lagi.
Anna yang kini kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia melihat perkembangan kariernya sebagai satu langkah positif dalam mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Dengan sokongan peminat dan peluang besar yang diterimanya, Anna berharap dapat terus menonjolkan bakatnya di kedua-dua negara.
Menyentuh mengenai pengalamannya pada tayangan perdana filem Lembayung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Anna melahirkan rasa teruja apabila dikerumuni oleh peminat-peminat Indonesia yang menyambut kehadirannya dengan meriah.
“Saya tidak pernah membayangkan sambutan hangat seperti ini. Pemain industri di sini sangat profesional dan peminat pula sangat penyayang. Mereka sangat menghargai saya dan saya rasa sangat gembira dan bersyukur,” kongsinya terharu.
Lebih mengujakan, pada majlis tayangan perdana itu, peminat-peminat yang hadir turut meraikan ulang tahun Anna yang ke-24. Peminat-peminat memberikan pelbagai hadiah termasuk jambangan bunga, menjadikan acara itu lebih bermakna buatnya.

“Saya sangat terharu apabila peminat-peminat di sini bukan sahaja menyokong kerjaya saya tetapi juga meluangkan masa untuk meraikan hari lahir saya. Ia adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” jelasnya.
Bertemu dengan nama-nama besar pemain industri Indonesia
Selain sambutan daripada peminat, Anna juga berpeluang bertemu dengan beberapa nama besar dalam industri perfileman Indonesia. Christine Hakim, Prilly Latuconsina, Giorgino Abraham dan ramai lagi bintang terkenal turut hadir pada majlis tayangan tersebut.

“Bertemu dengan nama-nama besar seperti Christine Hakim dan Prilly Latuconsina adalah satu penghormatan buat saya. Saya sangat terinspirasi dengan dedikasi mereka terhadap industri ini,” ujarnya.
Dengan pelbagai tawaran baharu yang diterimanya, Anna kini sedang merancang untuk mengembangkan lagi sayapnya sebagai pelakon di Indonesia. Dia komited untuk memberikan yang terbaik dalam setiap projek yang bakal dilakukannya.
“Saya berharap dapat memberikan lebih banyak karya yang bermutu, bukan sahaja kepada peminat di Malaysia tetapi juga di Indonesia.
“Ini adalah fasa baru dalam karier saya dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” ujar Anna dengan penuh keyakinan.
Filem Lembayung dijangka bakal mendapat sambutan hangat daripada penonton Indonesia dan luar negara, sekaligus memberikan impak besar kepada karier Anna sebagai bintang yang sedang meningkat naik di rantau ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

