PIHAK pengurusan Fazura menyangkal selebriti itu pernah mengeluarkan kenyataan susulan permohonan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin.
Pengurus Fazura iaitu Iman Tang berkata, pihaknya tidak terbabit dengan dakwaan kenyataan rasmi termasuk pendedahan tarikh prosiding seperti yang tular di media sosial.
“Kami dari pihak pengurusan, peguam dan Fazura sendiri mengesahkan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Fazura sejak tularnya kisah permohonan cerainya.
“Permohonan yang difailkan adalah satu permohonan cerai dengan kebenaran mahkamah sebagaimana kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Iman meminta semua pihak agar berhenti membuat khabar angin mengenai kisah rumah tangga pasangan itu.
“Pihak pengurusan berharap agar tiada pihak membuat sebarang kenyataan berbentuk andaian sendiri bagi mengelak pelbagai spekulasi,” katanya.
Semalam tular kenyataan Fazura yang dikatakan telah memohon untuk bercerai secara baik dengan Fattah.
Terdahulu, Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin,40, memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin,34, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Jumaat lalu.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun.

