ciri ahl sunnah wa al jamaah
Sekadar gambar hiasan

Dalam terbitan yang lalu, kami telah kongsikan sebahagian dari ciri-ciri yang ada pada seseorang yang bermanhajkan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Untuk artikel ini kami sambung berkait ciri-ciri tersebut agar masyarakat Islam lebih jelas dan faham siapakah sebenarnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Kesebelas: Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah mencintai para sahabat Rasulullah s.a.w dan mereka berpendapat bahawa semua sahabat adalah adil. Mereka mendekatkan diri kepada Allah dengan mencintai para sahabat, keluarga Nabi dan isteri-isteri Baginda s.a.w. yang merupakan Ummahat al-Mukminin. Mereka berlepas diri daripada sesiapa yang mencaci dan memusuhi para sahabat serta daripada sesiapa yang berlebih-lebihan dalam memuliakan mereka dan mengangkat mereka di atas kedudukan manusia biasa atau menganggap mereka maksum.

Artikel berkaitan: Siri khas Bab 1 ciri-ciri Ahl al Sunnah wa al-Jamaah

Kedua belas: Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah mengambil dalam fiqh berdasarkan ijmak dan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah sahih. Mereka mengambil kira pendapat para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in serta mengikuti ulama-ulama besar umat Islam seperti Abu Hanifah, Malik, al-Syafie, Ahmad serta fuqaha dan imam yang mengikuti sunnah yang terkenal dengan kebaikan di kalangan umat ini.

Ketiga belas: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menganggap semua muslim sama dalam hal kewajiban syarak, tidak ada perbezaan antara umum dan khusus, atau khusus yang lagi khusus. Mereka tidak memisahkan antara syariat dan realiti melainkan ini adalah satu agama yang tunggal, syariat yang tunggal, dari satu Tuhan yang diturunkan kepada satu nabi untuk seluruh manusia.

Keempat belas: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah mereka yang berada di tengah-tengah dalam segala hal mereka adalah umat pertengahan antara eksterimisme dan mudah-mudahan antara kelebihan dan kekurangan serta antara kelonggaran dan ketegasan

Kelima belas: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah di antara orang-orang yang paling tekun dalam menyatukan kalimah dan barisan. Antara iktikad mereka adalah menegakkan jihad, boleh berjemaah di belakang setiap orang yang baik atau yang berdosa. Mereka memandang sahnya solat di belakang ahli bida’ah dan yang berdosa.

Mereka adalah orang-orang yang paling cinta kepada kesepakatan dan paling benci kepada perpecahan. Kesilapan boleh berlaku kepada mereka yang mengaku diri mereka sebagai sebahagian daripada golongan tertentu tetapi tidak memahami dengan baik metodologi mereka atau mengikuti cara mereka.

Tidak semua yang mengaku diri sebagai sebahagian dari mereka beradab dengan adab yang telah diajarkan dan berjalan di atas jalan mereka. Kerakusan terhadap penghormatan gelaran telah memasukkan dalam kalangan mereka orang yang bukan daripada kalangan mereka.

Keenam belas: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terdiri daripada ulama dan fuqaha, khatib dan pendakwah, orang yang menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran, doktor dan jurutera. peniaga dan pekerja, orang kaya dan miskin, hitam dan putih, Arab dan bukan Arab.

Metodologi mereka tidak terbatas kepada satu golongan manusia dan mereka tidak membezakan antara lapisan masyarakat atau menjadikan ilmu, agama, keturunan, dan kedaulatan hanya milik satu kaum sahaja tanpa orang lain. mereka menyakini firman Allah dalam surah al-Hujurat:13

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu”

Ketujuh belas: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mereka terdiri daripada kalangan ahli ibadah yang zuhud, pelaku maksiat dan mereka yang melakukan dosa besar. Mereka tidak maksum daripada kesalahan dan maksiat, dan kesalahan serta maksiat ini tidak mengeluarkan mereka daripada menjadi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Mereka mungkin terlibat dalam sebahagian kecil perkara bidaah tetapi mereka cepat kembali kepada kebenaran apabila diberitahu tentangnya. Maka hal itu tidak mengeluarkan mereka daripada menjadi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah

Kelapan belas: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mengikuti kebenaran dan mengasihi makhluk. Mereka membenci maksiat serta bersikap lembut terhadap pelakunya serta membenci bidaah dan merasa kasihan terhadap para pengikutnya.

Mereka yang disebutkan dalam keluaran yang lalu dan sambungannya di atas inilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri serta sifat-sifat mereka yang perlu diketahui. Wallahu a’lam

Oleh: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (E-book: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah siapakah mereka?)

____________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’