Cerita ini bermula dengan suasana hingar-bingar pada suatu pagi di pasar di Baghdad. Kekecohan itu berlaku angkara seorang lelaki berbadan tegar dan berjanggut panjang yang mengucapkan kata-kata aneh dan membangkitkan kemarahan.
Lelaki itu berdiri di tengah-tengah orang ramai dan melaungkan, “Kawan-kawan! Hari ini aku sangat membenci perkara yang benar, tetapi amat menyenangi yang fitnah! Hari ini aku akan menjadi orang kaya, bahkan aku lebih kaya daripada Allah sendiri!”
Sungguh aneh kata-kata lelaki itu kerana selama ini dia terkenal sebagai orang yang alim dan warak. Orang ramai tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan lelaki ini? Kalau hendak berlawak pun, janganlah sampai membenci kebenaran, menyukai fitnah dan mengatakan dia lebih kaya daripada Allah. Kata-kata itu boleh menyesatkan akidah. Orang ramai mula memarahinya.
Tetapi lelaki warak dan berjanggut panjang itu tidak mempedulikannya. Dia terus berceloteh tanpa ada tanda-tanda mahu berhenti. Tidak lama kemudian, datanglah askar kerajaan. Lelaki tersebut ditangkap lalu dibawa ke istana Khalifah Harun al-Rasyid.
“Hah, kamu Abu Nawas!” kata khalifah sebaik melihat lelaki tersebut diheret oleh tentera ke hadapan baginda.
Abu Nawas mengangguk dan tersenyum.
“Benarkah engkau kata begitu, hai Abu Nawas?” tanya Khalifah Harun al-Rasyid yang memang kenal benar dengan Abu Nawas.
“Benar tuanku.”
“Kenapa? Sudah kafirkah engkau ini?” sergah khalifah.
“Tidak, tuanku. Aku masih Islam. Tapi aku rasa tuanku juga seperti aku. Tuanku pasti membenci perkara yang hak.”
Khalifah Harun al-Rasyid tercengang. “Hah! Sudah gilakah engkau ini, Abu Nawas?” baginda meninggikan suaranya kerana marah.
“Jangan terburu-buru, tuanku. Dengarlah dulu penjelasanku ini,” balas Abu Nawas.
“Penjelasan apa yang engkau hendak berikan? Sebagai Muslim, aku membela kebenaran, bukan membencinya!” ucap khalifah, geram.
“Tuanku, apabila orang membaca talkin, aku selalu mendengar ucapan bahawa mati itu benar dan neraka itu juga benar. Nah, siapakah orangnya yang tidak membenci mati dan neraka yang benar itu? Tidakkah tuanku juga membencinya seperti saya?” soal Abu Nawas semula.
Khalifah terdiam. “Cerdik juga engkau ini. Tapi apa pula maksud engkau menyenangi fitnah?”
“Barangkali tuanku lupa bahawa di dalam al-Quran ada menyebut bahawa harta benda dan anak-anak kita adalah fitnah. Pada hal tuanku sangat menyenangi harta dan anak-anak tuanku, seperti aku juga. Bukankah begitu, tuanku?”
“Ya, memang betul, tapi kenapa engkau mengatakan engkau lebih kaya daripada Tuhan?” tanya Khalifah Harun al-Rasyid.
“Sebab aku ada anak, sedangkan Tuhan tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan.”
“Itu memang betul, tetapi kenapa engkau berkata begitu di tengah-tengah pasar hingga orang ramai menjadi kacau?” tanya khalifah yang masih belum faham dengan tindakan Abu Nawas.
“Supaya dengan cara begitu aku akan ditangkap dan kemudian dihadapkan kepada tuanku seperti sekarang ini,” jawab Abu Nawas yang memang terkenal dengan loyar buruknya.
“Apa perlunya engkau menghadap aku?”
“Supaya mendapat hadiah daripada tuanku…” jawab Abu Nawas sambil tersengih.
“Cis… dasar orang cerdik!” kata khalifah lalu tergelak.
Suasana yang tadinya tegang terus bertukar menjadi riuh dengan gelak ketawa semua yang berhimpun di istana tersebut. Khalifah Harun al-Rasyid kemudiannya menghadiahkan wang kepada Abu Nawas dan menyuruhnya balik.
Gembira sungguh Abu Nawas. Ketika memasukkan wang dinar ke dalam sakunya dia pun berkata, “Alhamdulillah, dapat rezeki!”
*Nama sebenar Abu Nawas ialah Abu Nuwas al-Hasan bin Hani al-Hakimi (750-810). Beliau lahir di Ahraz, Parsi dan merupakan salah seorang penyair yang terkenal di zamannya. Abu Nawas sebenarnya seorang yang warak, bagaimanapun, beliau suka berjenaka dan pandai loyar buruk.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

