Doa persaudaraan dan kata-kata hikmah Uthman bin Affan r.a.

Dari Penulis

Rasulullah s.a.w. telah berjaya menyatukan hati manusia daripada pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit, dan status, dengan kalimah “Laa ilaha illallah, Muhammad Rasulullah”.

Di kalangan mereka ada yang berbangsa Rom seperti Suhaib, Parsi seperti Salman al-Farisi, Habsyi seperti Bilal bin Rabah, yang kaya seperti Uthman bin Affan, dan Abdul Rahman bin Auf dan miskin seperti Abu Dzar dan Ammar serta ramai lagi. Mereka berjaya dihimpunkan di masjid Nabi dengan persaudaraan Islam

Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan, Baginda s.a.w. berdoa setiap kali solat dengan doa ini:

“Ya Allah, Ya Tuhanku! Tuhan segala sesuatu serta pemiliknya. Aku bersaksi sesungguhnya Engkaulah Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi Mu. Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan segala sesuatu serta pemiliknya. Aku bersaksi sesungguhnya Muhammad itu hamba Mu dan pesuruh Mu.

“Ya Allah, Ya Tuhanku! Tuhan segala sesuatu serta pemiliknya aku bersaksi sesungguhnya semua hamba Mu adalah bersaudara.”

Nabi s.a.w. menjadikan persaudaraan dan kasih sayang sebagai isyarat keimanan dan masuk syurga. Sabda Baginda s.a.w.

“Demi Allah yang jiwaku berada dalam kekuasaan Nya. Kamu sekali-kali tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman. Dan kamu sekali-kali tidak akan beriman melainkan setelah berkasih sayang sesama sendiri”

Baginda s.a.w. juga menjelaskan hubungan sesama orang Islam,

“Seorang muslim itu adalah saudara kepada seorang muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya, tidak menyerahkannya kepada musuh, tidak mengecilkannya dan tidak menghinanya. Cukuplah seorang itu dianggap berbuat jahat dengan menghina saudara seislam dengannya.”

Gambaran persaudaraan Islam disebut dalam sabda Baginda s.a.w.

“Kamu melihat orang-orang yang beriman daripada segi saling berkasih sayang, berlemah-lembut dan bersimpati adalah umpama satu jasad. Jika salah satu anggota jasad tersebut mengadu sakit, maka seluruh anggota yang lainnya menyahut dengan demam dan berjaga malam”

Maka kata ulama kontemporari Dr. Yusuf al-Qaradawi,

“Masyarakat yang anggotanya hidup secara individu, tidak berasa sedih dengan penderitaan orang lain serta tidak bergembira melihat kegembiraan orang lain, bukanlah sebenarnya sebuah masyarakat Islam.

“Masyarakat yang anggotanya kuat menindas yang lemah, yang kaya berkasar dengan yang miskin, dan yang mampu bersikap kedekut terhadap yang miskin, bukanlah sebenarnya masyarakat Islam.” 

Kata-kata hikmah daripada khalifah Uthman ibnu Affan r.a.

Sayidina Uthman ibnu Affan r.a. iaitu Khulafa al-Rasyidin yang ketiga elok pernah menyatakan bait-bait hikmah sebagai renungan kita antaranya:

“Aku mendapat kemanisan ibadah dalam empat perkara iaitu pertama, sewaktu menunaikan apa yang difardukan Allah. Kedua, meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah, ketiga, dikala menyeru kepada kebaikan dan terakhir ketika mencegah kemungkaran dan menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah”

Beliau juga mengatakan bahawa empat perkara yang pada zahirnya fadilat dan pada batinnya wajib iaitu:

Pertama: Bergaul dengan orang soleh itu fadilat, mengikut amalan mereka itu wajib

Kedua: Membaca al-Quran itu fadilat, beramal dengannya itu wajib

Ketiga: Menziarahi kubur itu fadilat, bersedia untuk mati itu wajib

Keempat: Menziarahi orang sakit itu fadilat menunaikan wasiat itu wajib

Tanda-tanda ariffin

Pertama: Hati berasa takut dan berharap

Kedua: Lidah sentiasa bertahmid dan memuji Allah

Ketiga: Mata malu tatkala melihat perkara yang dilarang dan banyak menangis

Keempat: Kehendak yang bersih dari cinta dunia dan menuntut keredaan Allah 

_________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This