SHANGHAI Shenhua FC gagal menahan serangan bertali arus Johor Darul Ta’zim (JDT) dan terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
JDT bermula garang seawal minit pertama apabila hampir mencipta kejutan selepas bola hantaran lintang Arif Aiman Hanapi sepatutnya disudahkan mudah oleh Jorge Obregon, namun pemain import dari Colombia itu terlepas peluang keemasan.
Obregon sekali lagi menghampakan apabila gagal melakukan penyudah tepat selepas menerima bola lorongan Juan Muniz pada minit keenam tatkala berjaya menewaskan penjaga gol, Bao Yaxiong.
Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan untuk mencari gol akhirnya berhasil pada minit ke-11 apabila pemain paling bernilai (MVP), Arif Aiman sekali lagi membuktikan kehebatan pemain tempatan apabila melakukan rembatan kencang dan menewaskan Yaxiong.
Obregon yang terlepas dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol akhirnya berjaya mendapatkan gol pada minit ke-25 selepas menanduk bola melepasi jangkauan Yaxiong hasil hantaran Murilo Henrique untuk meletak JDT mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, Shanghai Shenhua FC yang ketinggalan 0-2 mula menyusun strategi dalam usaha merapatkan jurang gol tapi masih belum mampu melepasi benteng JDT yang dikawal kemas Shane Lowry, Eddy Israfilov dan Park Jun-heong.
Sebaliknya, Harimau Selatan melenyapkan sisa perjuangan skuad yang bergelar The Flower of Shanghai itu apabila Muniz menyudahkan sepakan percuma dari jarak 25 meter pada minit ke-79.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio melonjak ke tangga kedua Zon Timur selepas mengumpul empat mata di belakang pendahulu kelab Liga 1 Korea, Gwangju FC yang mengutip enam mata.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

