PRODUKSI Ogy Ventures & Network Sdn Bhd dengan bangganya mempersembahkan pementasan teater Di Sebalik Topeng yang mengangkat tema kesihatan mental dan penebusan diri.

Teater terbitan syarikat milik pelakon Fauziah Ahmad Daud itu diarahkan oleh pengarah berbakat Zainorhisyam Samudin yang terkenal dengan karya-karya dramatik menyentuh hati dan memberikan impak mendalam kepada penonton. 

Menurut Fauziah atau mesra disapa Ogy, teater ini merupakan satu refleksi tentang cabaran kehidupan yang sering dihadapi oleh ramai individu dalam masyarakat. 

“Teater ini bukan sekadar hiburan, ia adalah satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup. 

“Setiap watak yang dipersembahkan dalam Di Sebalik Topeng melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” katanya kepada URTV. 

Teater Di Sebalik Topeng ini bakal membawa penonton menyelami kisah seorang wanita yang bergelut dengan masalah kesihatan mental yang mendapati dirinya terperangkap dalam konflik emosi mendalam.

Melalui sesi terapi kumpulan, wanita ini tidak bersendirian, tetapi ditemani oleh beberapa individu lain yang juga cuba melepaskan diri daripada trauma dan beban hidup masing-masing.

Teater ini menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap kisah setiap watak yang penuh dengan rahsia. Dalam terapi tersebut, topeng-topeng yang dipakai oleh setiap individu mulai tertanggal, mendedahkan perasaan dan pengalaman yang telah lama terpendam. 

Penonton akan menyaksikan bagaimana watak-watak ini berusaha untuk menghadapi kebenaran hidup dan mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan. 

Tema kesihatan mental yang diketengahkan dalam pementasan ini adalah isu yang amat relevan pada masa kini. Kesihatan mental sering kali dianggap tabu, tetapi melalui Di Sebalik Topeng, penonton akan diingatkan tentang pentingnya untuk mencari bantuan dan memahami bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.

Ogy turut menekankan bahawa pementasan ini diharapkan dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan sokongan emosi. 

“Saya ingin penonton merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam apa yang mereka hadapi. Setiap daripada kita, pada satu ketika, memakai topeng untuk melindungi diri. 

“Tetapi dalam mencari kedamaian, kita perlu belajar untuk membuka topeng itu dan menerima diri kita yang sebenar,”jelasnya.

Sementara itu, sebagai pengarah, Zainorhisyam teruja untuk bekerja dalam projek ini kerana ia menawarkan dimensi baru dalam penceritaan teater tempatan.

“Ini adalah satu pementasan yang tidak hanya menghiburkan, tetapi juga mendidik. Melalui watak-watak yang kelihatan rapuh, kita dapat melihat kekuatan yang luar biasa dalam diri setiap individu untuk bangkit daripada kegelapan,” katanya.

Pementasan teater ini juga menampilkan lakonan Ogy serta bantuan beberapa pelakon lain seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar. 

Tidak hanya memberikan persembahan mantap, malah gabungan elemen-elemen dramatik, konflik emosi, serta penyampaian lakonan yang penuh perasaan menjanjikan pengalaman teater yang tidak mudah dilupakan. 

Selain memberikan hiburan berkualiti, teater ini juga membuka ruang perbincangan tentang isu-isu sosial yang sering kali dipinggirkan, terutamanya mengenai kesihatan mental.

Penonton akan dibawa masuk ke dalam dunia watak-watak yang terjebak dalam masa lalu, cuba melepaskan diri dari belenggu yang menyakitkan, dan mencari jalan menuju penebusan. 

Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.

Pementasan teater itu dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Oktober ini, jam 8.30 malam di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP. 

Ia turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta mendapat sokongan daripada geran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).