PELAKON Adam Shahz mendedahkan sejak diberi peluang bersilat menerusi teater Dang Anum (The Untold Story), dia mula diintai penerbit dan pengarah genre aksi.
Bagaimanapun, Adam akui terpaksa menolak berapa tawaran tersebut berikutan enggan merosakkan karya orang lain.
“Tapi ada yang saya terpaksa tolak sebab tidak mahu mencacatkan karya orang lain dengan gerak sumbang silat saya.
“Ada juga tawaran untuk buat persembahan seni mempertahankan diri seperti silat di pentas susulan lakonan saya dalam teater Dang Anum tahun lalu,” katanya kepada URTV.

Biarpun masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran watak yang memerlukan dirinya bersilat dalam filem, Adam kini dalam proses pengajian silat gayong bersama pelakon Geran, Lekiu Qohar.
“Saya bukan seorang pesilat tapi setiap kali latihan, saya akan kongsi klip melakukan latihan bersilat di media sosial untuk melihat maklum balas daripada mereka yang pakar.
“Malah beberapa rakan artis yang handal bersilat seperti Fad Anuar, memuji gerak silat saya sebab nampak ‘authentic’, tidak sumbang,” ulasnya.
Pelakon yang memegang watak Tun Bija Ali di dalam teater ini menegaskan, jika orang yang mengajar silat itu ‘sumbang’, maka langkahnya juga turut akan ‘sumbang’.
Oleh itu, dia bersyukur kerana banyak ilmu gerak silat dipelajari daripada rakan pelakon yang berpengalaman seperti Md. Husin melalui Teater Dang Anum.
“Hasil koreografer silat dari beliau, nampak seakan saya seorang yang pandai bersilat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari, berharap teater kali ini dapat menarik minat lebih ramai penonton dari pelbagai latar belakang.
“Teater kali ini lebih menarik dari segi aksi silat, komedi, drama dan ‘tasmat’.
“Ini kerana ruang untuk bermain teater lebih besar, jadi segala unsur tarikan di dalam teater ini juga perlu besar dan mengkagumkan,” katanya.
Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) bakal mementaskan Teater Dang Anum (The Untold Story) pada hujung minggu ini bermula 27 sehingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin (Cempaka Sari), Putrajaya.
Selain Adam, pelakon lain yang turut terbabit ialah Ain Sufia, Along Eyzendy, AG Hafiz, Karl Dannish, Aman Salleh, Md. Husin dan Affan Mohd.
Tiket boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

