BAND terkenal, UK’s, mengumumkan penundaan showcase UK’s: Up Close and Personal yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober ini ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Biarpun berat hati, vokalisnya, Amir, berkata, keputusan itu terpaksa di ambil berikutan isu berbangkit yang memerlukan perhatian untuk diselesaikan.
“Saya, bagi pihak rakan-rakan UK’s, dengan berat hati terpaksa menunda showcase dan majlis makan malam yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
“Kami memohon maaf kerana ia sepatutnya menjadi showcase yang julung kali diadakan, eksklusif untuk para peminat setia UK’s.
“Kami sudah berlatih sejak beberapa bulan lalu demi merealisasikan malam ini sebagai sebuah malam intimasi, iaitu tanda penghargaan kami atas sokongan yang diberikan peminat kepada UK’s selama lebih tiga dekad ini.
“Kami sebenarnya teruja dan tidak sabar untuk berada dekat dengan peminat setia UK’s, namun selepas mempertimbangkan situasi semasa dan isu berbangkit yang memerlukan perhatian, malam showcase itu terpaksa dibatalkan dan ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan nanti,” katanya.

UK’s, sebelum ini, mengumumkan penganjuran malam intimasi UK’s: Up Close and Personal di Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada 26 Oktober ini. Ia dianjurkan oleh Amir UK’s Entertainment dan Laga Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Hotel Ideas.
Oleh itu, katanya, bagi para peminat yang telah membeli atau menempah tiket, pihak penganjur akan mengembalikan semula wang.
Pembeli diminta menghubungi Pashah di talian 012-4289428 bagi tujuan pemulangan bayaran yang telah dibuat.
Manakala peminat yang telah menempah hotel melalui aplikasi yang telah dipilih diminta agar membuat pembatalan tempahan segera.
Amir berkata, sekali lagi, Uk’s memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku dan berharap isu yang dihadapi dapat diselesaikan segera agar malam showcase yang dirancang dapat diteruskan dalam masa terdekat.
“Apa pun, kesetiaan peminat selama lebih tiga dekad ini sentiasa dihargai. Sokongan peminat membuatkan kami kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

