PENYANYI, Iman Troye meluahkan rasa teruja bercampur gemuruh apabila namanya dipilih sebagai antara pengisi utama bagi siri persembahan eksklusif, SPOTLIGHT KLCC yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.
Peluang keemasan ini disifatkan sebagai satu lonjakan portfolio yang sangat berbeza buat pemilik nama sebenar Siti Nur Alyssa Sahabudin, 24, memandangkan dia bakal beraksi secara solo sepenuhnya tanpa ditemani rakan artis lain di atas pentas.
Jika sebelum ini landskap kerjaya seninya lebih sinonim dengan penampilan dalam konsert berskala mega atau festival yang menggabungkan ramai penyanyi, projek terbaharu ini bakal menguji sejauh mana aura kematangan Iman dalam mengawal pentas secara sendirian.

“Sejujurnya, saya berasa amat teruja kerana menerusi projek ini, saya berpeluang untuk belajar banyak perkara baharu.
“Lagipun, ini merupakan showcase solo pertama saya sepanjang membabitkan diri dalam industri muzik.
“Sebelum ini, saya memang kerap terlibat dalam acara konsert, tetapi ia sentiasa membabitkan penglibatan artis-artis lain di atas pentas yang sama.
“Namun kali ini, konsepnya jauh lebih intim antara penyanyi dan peminat kerana setiap artis diberikan slot persembahan yang tersendiri,” katanya kepada URTV.
Dalam usia kerjaya yang masih hijau, pelantun lagu hit Teman itu sedar bukan mudah untuk seseorang penyanyi muda mendapat kepercayaan mementaskan persembahan di ruang berprestij seperti Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Justeru, Iman tekad untuk meletakkan aspek kreativiti sebagai elemen paling utama sepanjang slot persembahannya nanti bagi memastikan kepuasan maksimum penonton yang hadir.

“Bagi setiap sesi, kami diperuntukkan slot masa selama 90 minit dan saya bakal mendendangkan sekitar 12 buah lagu.
“Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara ini, minda saya sudah mula ligat memikirkan idea-idea kreatif yang ingin saya tunjolkan di atas pentas nanti.
“Saya mengambil tanggungjawab ini sebagai satu tugas dan amanah yang sangat besar.
“Sebelum ini, saya memang tidak pernah terfikir akan memiliki showcase sendiri secepat ini, jadi saya sangat bersyukur dengan kesempatan ini,” jelasnya.
Iman dijadualkan bakal menemui para peminatnya secara dekat pada 12 September depan bagi slot tirai pertama yang bermula tepat pukul 1:30 petang.
| Tarikh Konsert | Barisan Artis & Slot Masa Persembahan |
| 22 Ogos 2026 | Aizat Amdan (1:30 ptg) | Kumpulan SOG (4:30 ptg) | Orked Farhan (8:30 mlm) |
| 12 September 2026 | Iman Troye (1:30 ptg) | Imran Ajmain (4:30 ptg) | Noryn Aziz (8:30 mlm) |
Bagi pengikut setia yang ingin menyaksikan transisi dan kematangan aksi pentas Iman dalam suasana yang lebih eksklusif, tempahan tiket kini sudah mula dibuka secara dalam talian melalui platform rasmi Ticket2U.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

