Johor tak mundur jika cuti kekal Jumaat, Hassan Karim tak setuju tukar semula cuti hujung minggu

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

“TIDAK akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor.”

Demikian kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang tidak bersetuju dengan penukaran semula cuti hujung minggu di negeri Johor kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Dalam hantaran di Facebook, Hassan menyifatkan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa kerana mempunyai makna dari segi sejarah dan budaya Johor.

Sebagai salah sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Hassan berkata, cuti hujung minggu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu yang turut diamalkan di Kelantan, Terengganu serta Kedah.

Beliau berkata, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu merupakan negeri yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris berbanding Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang ‘dipaksa’ cuti mengikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

Justeru, Hassan menegaskan, perubahan yang akan berlaku di Johor dalam soal cuti hujung minggu mempunyai makna tersendiri iaitu melupakan budaya dan sejarah politik negeri tersebut.

“Johor dirahmati Allah dengan segala kemajuan duniawi dari segi kebendaan dan material berbanding dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia walaupun cuti hujung minggunya selama ini adalah pada hari Jumaat dan Sabtu.

“Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam. Di Johor, adalah antara negeri yang paling banyak masjid. Hari Jumaat punya pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Rakyat Johor yang bukan Islam menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor,” katanya dalam hantaran tersebut.

Baca artikel lain: Penyelarasan cuti hujung minggu Johor libatkan 1.948 juta tenaga kerja, 587,343 pelajar

Mengulas lanjut, Hassan berkata, perubahan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan Ahad sebagai cuti pernah berlaku beberapa tahun lalu tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokong.

“Jadi pada pandangan saya, walaupun sebagai rakyat biasa, sebagai seorang Ahli Parlimen biasa dari negeri Johor, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Tetapi saya masih ada satu hak untuk bersuara. Hak itu tidak boleh ditekan dan dirampas dari saya.

“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor, seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor, maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan perintah yang dibuat oleh raja pemerintah negeri Johor,” katanya.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukarkan semula kepada hari Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, pertukaran cuti hujung minggu untuk negeri Johor itu dilakukan selepas mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada masa sama, ia juga setelah mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This