PERANAN Datuk Seri Rafizi Ramli di luar parti menjadi penyumbang penting kepada PKR untuk kekal sebagai sebuah parti progresif, reformis dan pelbagai kaum.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu apabila Rafizi yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR secara aktif terus hidup dan berpolitik untuk menyumbangkan idea-ideanya yang segar di dalam Parlimen dan di podcast di media sosial.
Hassan berkata, Rafizi dan ahli-ahli Parlimen sependirian dengannya berupaya menjanjikan masa depan yang cerah untuk PKR di masa hadapan dengan wujudnya fenomena baru di luar kerajaan.
Menurut Hassan, Rafizi sebagai seorang anggota PKR tetap setia dengan idealisme reformis yang jujur memihak kepada rakyat jelata, bukannya golongan elitis kelas berkuasa.
“Ada hikmahnya Rafizi kalah dalam pemilihan PKR pada Mei lalu yang lalu dan seterusnya keluar dari Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Yang mendapat rahmat dari perkembangan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah PKR.
“Sekarang rakyat mulai nampak suatu realiti. Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan PKR yang didukung oleh lebih sejuta anggota adalah dua entiti yang berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, Kerajaan MADANI mungkin timbul atau tenggelam dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Katanya, garis pemisah antara pendirian Anwar sebagai Perdana Menteri Kerajaan MADANI dengan Rafizi serta ramai lagi ahli-ahli Parlimen senior PKR di Dewan Rakyat ialah dalam soal Perjanjian Timbal Balik Tarif (ART) yang telah ditandatangani dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 26 Oktober di Kuala Lumpur.
Tegas beliau, perbezaan pendirian dalam soal Perjanjian ART itu bukan perkara kecil tetapi iamelibatkan soal dasar, kemerdekaan dan kedaulatan negara yang merupakan teras asas dalam perjuangan politik PKR.
“Namun begitu, wajar diberi pujian. Kepimpinan PKR setakat ini amat bijaksana dan berhati-hati terutama sikap Presiden Parti merangkap Perdana Menteri, Anwar.
“Setakat yang saya tahu tidak ada sebarang peringatan atau teguran keras atau tindakan tatatertib disiplin yang telah diambil atau akan diambil kepada anggota-anggota parti terutama ahli-ahli parlimen PKR yang bersuara lantang di dalam Parlimen atau di luar parlimen yang mengkritik keras secara terbuka terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.
“Dalam hal ini, maka Penulis tabik hormat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

