SEMBILAN ahli Parlimen PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kehakiman perlu bertanggungjawab sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI tumbang.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, tuntutan sembilan ahli Parlimen PKR itu membawa makna bahawa kesemua mereka telah hilang kepercayaan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri.
Menurut Hassan, sekiranya RCI ditubuhkan, Anwar sebagai Perdana Menteri yang mempunyai banyak ‘kuasa’ diperuntukkan di bawah Perlembagaan dalam hal pelantikan hakim kini menjadi seorang ‘suspek’ yang tidak dapat lari.
Beliau berkata, RCI hanya boleh dibentuk dan mendapat mandat melakukan siasatan sekiranya Anwar dan Jemaah Menteri bersetuju berbuat demikian dengan terma rujukan seperti dituntut sembilan ahli Parlimen PKR tersebut.
Jelasnya, tanpa persetujuan Anwar dan Kabinet, maka tuntutan sembilan ahli Parlimen PKR itu akan menjadi isu yang akan memburukkan lagi imej Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.
Bagaimanapun, Hassan mengakui bahawa tuntutan sembilan ahli Parlimen PKR itu menimbulkan isu yang sah dan bermerit kerana isu kehakiman ketika ini seperti elephant in the room.
“Sembilan ahli Parlimen PKR tersebut meletakkan Presiden PKR sendiri dalam bahaya. Apa yang sembilan ahli Parlimen PKR itu lakukan sekarang seperti meletakkan tengkuk Anwar di bawah guillotine seperti dalam Revolusi Perancis.
“Tindakan sembilan ahli Parlimen PKR itu adalah progresif dan radikal serta popular dalam kalangan rakyat tetapi risikonya ada.
“Adakah sembilan ahli Parlimen PKR itu telah bersedia untuk menghadapi Anwar tumbang kerana menuntut RCI diadakan? Jika jawapannya ya, maka jelaslah satu pemberontakan dalam sedang berlaku dalam PKR itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Kelewatan pelantikan kehakiman membayangkan PM tak setuju calon JAC – Rafizi
Mengulas lanjut, Hassan tidak menafikan bahawa tindakan sembilan ahli Parlimen penyokong kerajaan dari PKR itu adalah satu contoh baik dalam sistem Parlimen Demokrasi.
Namun begitu, katanya, dari segi politik dan parti, tindakan itu bermakna sedang berlaku penentangan dalaman secara langsung terhadap Anwar sebagai Presiden PKR dan Perdana Menteri yang tidak pernah berlakus ebelum ini.
“Tindakan sembilan ahli Parlimen PKR ini menunjukkan ramai dalam kalangan pemimpin PKR terutama Ahli Parlimen sudah hilang sabar, sudah hilang kepercayaan kerana melihat kerajaan pimpinan Anwar telah melakukan banyak kompromi sehingga kelihatan hipokrasi dalam banyak perkara.
“Bagaimanapun, MP (ahli Parlimen) Pasir Gudang masih yakin kepada kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan akan mempertahankan kerajaan pimpinan Anwar dan kedudukan Anwar itu sendiri sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Semalam, sembilan ahli Parlimen PKR mendesak supaya RCI ditubuhkan bagi menangani kemelut dalam institusi kehakiman negara.
Sembilan ahli Parlimen PKR itu diketuai bekas Timbalan Presiden parti itu iaitu Rafizi menyifatkan RCI itu penting bagi menyiasat pelbagai dakwaan berhubung pelantikan dan campur tangan yang berlaku dalam urusan kehakiman.
Selain Rafizi, lapan lagi ahli Parlimen PKR berkenaan adalah ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; ahli Parlimen Subang, Wong Chen; ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik; ahli Parlimen Ledang, Ibrahim Syed Noh; ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

