15 Januari 2012…
Van jenazah yang dipandu Ramli Mat Isa berdesup laju membelah kepekatan malam.Ketika itu pukul 3.00 pagi, lebuh raya Utara-Selatan dari susur keluar persimpangan Jawi menuju ke Plaza Tol Juru arah utara agak lengang.
Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang kerana hari itu bukan hujung minggu atau musim cuti sekolah. Hanya sesekali van jenazah yang dipandu Ramli berselisih dengan lori-lori industri dan kenderaan berat yang menghala ke arah Butterworth.
Walaupun hari dah lewat malam dan sudah beberapa jam dia mengharungi perjalanan yang agak jauh dari Shah Alam, Selangor, mata Ramli masih lagi segar bugar. Baru lepas ‘pekena’ kopi ‘O’ pekat di hentian rehat dan rawat (R&R) Gunung Semanggol, memanglah biji matanya cerah.
Malam itu cuaca agak baik, bulan terang-benderang. Kereta pun tak banyak atas jalan. Sambil memandu, dia pasang CD surah-surah al-Quran.
“Abang Ramli, kat mana dah kita ni?” satu suara garau menyapa dari belakang. Ramli jeling cermin. Dalam kegelapan itu, dia lihat Zaid sedang terpisat-pisat menyapu mata. Baru bangun tidur agaknya.
Zaid adalah waris kepada jenazah yang dibawanya malam itu. Dia anak sulung Allahyarham. Hanya Zaid seorang sahaja yang menemani jenazah sepanjang perjalanan. Adik-adiknya yang lain semua sudah jalan dulu dengan kereta masing-masing untuk melakukan persiapan di kampung.
Sejak dari persimpangan Changkat Jering tadi, Ramli perasan yang Zaid sudah pun terlentok tidur di sebelah keranda jenazah ayahnya. Mungkin dia penat, seharian suntuk menguruskan hal kematian orang tuanya itu.
“Dah nak sampai tol Juru ni. Lagi setengah jam sampailah Bukit Mertajam. Nah…,” kata Ramli sambil menghulurkan sebungkus teh tarik kepada Zaid.
Tadi semasa Ramli singgah berhenti beli kopi di R&R, dia tengok Zaid tengah nyenyak. Tak sampai hati Ramli nak kejutkan. Jadi, dia belikan sebungkus minuman untuk anak muda itu.
“Terima kasih, bang,” jawab Zaid ringkas sambil menyambut bungkusan air itu.

Dalam baki perjalanan yang kurang dari sejam itu, mereka berbual-bual kosong. Kalau awal tadi Zaid lebih banyak menghabiskan masanya membaca surah Yasin, tapi kali ini dia lebih berminat nak bersembang. Tak ada perkara penting yang dibualkan pun, cuma sekadar basa-basi nak menghilangkan kebosanan memandu malam itu.
Tetapi, ketika tengah sedap berborak dan melepasi kilometer 150, tiba-tiba Ramli rasa lain macam. Van yang dipandunya seperti hilang kawalan. Tak ada angin tak ada ribut, tak semena-mena van itu menyenget ke kiri. Pelik!
Walaupun jalan tegak sahaja, namun kenderaan yang dipandu makin lama makin ke tepi, seterusnya melepasi lorong kecemasan dan menjejak tanah. Kebetulan pula laluan itu tak ada pengadang jalan, jadi sikit sahaja lagi van itu nak menjunam ke dalam longkang besar.
“Ya Allah!! Kenapa ni bang???!” tanya Zaid dari celah dinding belakang. Riaknya terkejut apabila van yang dinaiki itu rasa terhuyung-hayang. Ramli sendiri tak mampu nak menjawab soalan Zaid sebab dia pun tidak tahu mengapa van itu menyenget ke kiri.
Stereng van terus digenggam erat. Ramli cuba mengawalnya supaya tetap berada di laluan dan tidak terbabas ke dalam parit besar tepi jalan. Sepantas kilat kakinya menekan brek, sementara tangannya mengilas stereng ke arah kanan. Tapi…
STREEEETTTTTT… DUMMMM!!
Van itu terperosok ke dalam longkang. Tayarnya terangkat sebelah. Dalam keadaan samar-samar itu, Ramli lihat percikan api pada bahagian sebelah kiri apabila kenderaan itu bergesel dengan konkrit longkang.
Walaupun sudah terbabas, tetapi van itu masih lagi menggelongsor dalam keadaan yang menyenget. Kali ini, sekali lagi Ramli cuba kilas stereng ke arah kanan sambil melaungkan takbir, “Allahuakbar!!!”
Bunyi tayar van jenazah mencengkam jalan jelas kedengaran sebaik ia mencecah tar. Disebabkan Ramli memulas stereng secara mengejut, van yang dipandu terhuyung-hayang di atas jalan. Kenderaan itu bergerak ke kiri dan ke kanan, sebelum berpusing-pusing dan terbalik beberapa kali. Dan…
DAM! DAMM!! DAAMMMM!!
Bunyi hentaman bergema disusuli dengan gegaran yang cukup kuat. Semua barang di dalam van bertaburan. Air kopi bungkus yang digantung pada punat pintu tumpah ke lantai van. Tubuh Ramli terhenyak ke depan menghempas dashboard. Suasana sunyi sepi. Badan Ramli menggeletar, sementara jantungnya berdegup kencang.

Perlahan-lahan Ramli membuka mata. Rupa-rupanya van yang dipandu tadi sudah tersadai di dalam parit. Lututnya terasa sakit. Dalam keadaan yang gelap-gelita itu, dia menolak pintu dan keluar dari kenderaan terbabit.
“Zaid, engkau okey ke?” soal Ramli dengan dadanya yang masih berdebar-debar.
“Okey bang… tak ada apa-apa. Sikit sahaja ni,” jawab Zaid dari dalam van. “Tapi, keranda ni terbalik,” sambungnya semula.
“Keranda terbalik?”
Dalam keadaan yang terhincut-hincut, Ramli segera bergegas ke belakang untuk membuka pintu van. Apa-apa hal pun, dia perlu keluarkan Zaid dan jenazah ayahnya terlebih dahulu atas faktor keselamatan.
Tapi bahagian bucu kiri van yang remuk dan kemik itu menyebabkan pintu belakang tersangkut dan tak boleh dibuka. Dia cuba umpil pintu tersebut dengan tangan kosong, namun tak boleh dikuak. Walaupun Zaid cuba menendang dari bahagian dalam van, tetapi pintu tersebut masih tak renggang.
Sementara pintu bahagian tepi pula langsung tak ada ruang untuk dibuka kerana bahagian kiri van sudah terperosok ke dalam longkang. Nak celah tangan pun tak lepas.
“Ini tak boleh jadi. Zaid, engkau sabar kejap. Aku pergi minta bantuan,” kata Ramli. Dia memanjat tebing dan berjalan menuju ke jalan raya.
Ramli cepat-cepat berdiri di tepi jalan sebaik ternampak cahaya lampu sebuah kereta yang akan melalui tempat kemalangan. Apabila kereta tersebut semakin hampir, dia mengangkat tangan untuk menahannya.
Kelihatan pemandu tersebut memperlahankan kereta. Tapi bila semakin menghampiri, pemandu tadi terus menekan minyak dan memecut laju. Lagak pemandu kereta tersebut seperti dalam keadaan cemas.
Ramli terpinga-pinga. Takkanlah kereta tadi tak nampak kenderaannya yang terperosok di dalam parit?
Tak lama selepas itu, tiga empat buah kereta lagi melalui jalan tersebut. Mulanya Ramli lihat pemandu kereta memperlahankan kenderaan seperti mahu berhenti. Tapi apabila semakin dekat, tiba-tiba sahaja kereta itu terus memecut laju meninggalkannya di tepi jalan.
Ramli tengok jam di tangan. Pukul 3.20 pagi. Sah! Ikutkan pengalamannya, kalau van jenazah kemalangan waktu-waktu begini, memang tak ada sesiapa pun yang sanggup berhenti dan hulurkan bantuan.
Nampaknya Ramli tak ada pilihan. Dia keluarkan telefon bimbit dari dalam kocek seluar dan hubungi penyelenggara lebuh raya serta pihak berwajib. Selepas itu, dia kembali semula ke van untuk melihat keadaan Zaid yang masih terperangkap.
“Zaid, okey ke?” soal Ramli bila dia sampai semula ke situ.
“Okey bang, tak ada apa-apa. Lengan kiri saja yang sakit sikit. Dapat bantuan tak?” Zaid kembali menyoal.
“Dah. Aku dah telefon. Sekejap lagi polis sampai,” jawabnya.
Sambil menunggu bantuan, Ramli kelinting keliling van. Dia tengok ke arah tayar, tapi tak pancit. Ramli mula pelik. Kalau tayar tak pancit, macam mana van boleh menyenget ke kiri? Nak kata jalan licin, hari tak hujan. Lopak air pun tak ada atas jalan.
Nak kata mengantuk, biji matanya cerah tadi. Bahkan, sebelum van hilang kawalan dia tengah bersembang dengan Zaid. Jadi, tak mungkin dia mengantuk. Habis tu, macam mana van ni boleh kemalangan? Soalan itu terus sahaja berlegar dalam benaknya.
Selepas setengah jam, trak penunda dan kereta polis sampai. Pintu belakang van diumpil. Bila dah terbuka, Zaid keluar dari van dengan tangannya sedikit cedera kerana terhempas ketika kemalangan tadi.
Di dalam van, Ramli tengok keadaan keranda yang sudah tunggang terbalik. Tapi penutupnya masih kejap kerana dikunci rapat. Ramli kemudian buka penutup keranda untuk lihat keadaan jenazah. Nasib baik tak ada apa-apa. Semuanya masih elok dan kedudukan jenazah seperti tak terusik walaupun van dua, tiga kali berpusing-pusing tadi.
Cuma timbul satu lagi masalah. Van sudah tak boleh bergerak, jadi siapa pula yang nak menghantar jenazah ayah Zaid? Selepas berbincang perkara tersebut dengan pihak polis, mereka kemudian menelefon hospital berdekatan dan meminta bantuan menghantar jenazah menggunakan ambulans.
Lebih kurang pukul 6.00 pagi iaitu selepas masuk waktu subuh, ambulans sampai. Zaid bersama jenazah ayahnya dibawa menaiki kenderaan itu untuk dihantar ke kampung keluarganya di Bukit Mertajam. Sementara itu, Ramli pula mengikut pihak polis ke balai untuk memberi keterangan.
Ramli sendiri sukar untuk menyatakan bagaimana kemalangan itu boleh berlaku. Puas dia fikir, tapi sampai ke sudah tak ada jawapan.
Namun, daripada maklum balas pegawai penyiasat yang bertugas, dia difahamkan kawasan kemalangan itu agak ‘keras’. Seminggu sebelum itu ada berlaku kemalangan yang meragut nyawa di kawasan tersebut. Malah, dalam longkang itu jugalah kenderaan itu terperosok.
Daripada cakap-cakap yang Ramli dengar, laluan itu dikelilingi oleh tiga kawasan tanah perkuburan. Bahkan, banyak pengguna jalan raya pernah melihat keranda terbang melintasi laluan berkenaan selepas pukul 12.00 tengah malam.
Adakah itu puncanya?
**Kisah di atas diceritakan oleh Ramli Mat Isa, salah satu pengalaman yang dialaminya sewaktu bertugas sebagai pemandu van jenazah.
_____

