Pukul 4.00 petang. Matahari masih hangat membakar. Tubuh badan saya terasa bahang. Pun begitu saya sudah selamat tiba di sebuah tanah perkuburan yang terletak di sebuah negeri di pantai timur.
Tanpa berlengah saya keluar dari van. Saya pusing ke kiri dan kanan, meregang dan membetulkan urat-urat badan yang rasanya seperti terbelit. Lenguh betul badan setelah lebih tujuh jam memandu seorang diri membawa jenazah dari Kuala Lumpur.
Apabila badan sedikit selesa, saya menuju ke belakang van. Bonet van saya buka sehingga menampakkan isinya – sebuah keranda.
Lagipun, saya tengok sudah ramai yang berkumpul di tanah perkuburan itu. Mungkin mereka merupakan anak-anak si mati, saudara mara terdekat selain beberapa orang penduduk kampung. Jumlah mereka tidaklah ramai, sekitar dua puluh orang sahaja.
“Waris-waris boleh datang angkat jenazah ni,” ujar saya pada orang ramai yang sedari tadi hanya memerhati saja. Entah berapa lama mereka sudah berkumpul di tanah perkuburan tersebut, saya tidak tahu.
Namun apabila saya memanggil orang-orang yang memerhatikan tadi, mereka buat tidak tahu saja. Mereka terus rancak berbual-bual sesama sendiri seolah-olah langsung tidak dengar panggilan saya. Ada juga yang masih leka menghisap rokok.
“Marilah, dah boleh bawa keluar jenazah ni,” ujar saya sekali lagi. Kali ini saya tinggikan suara sedikit, takut-takut mereka tidak dengar.
Kali ini barulah ada reaksi daripada mereka. Pun begitu tak ada seorang pun yang melangkah ke hadapan. Semuanya asyik menolak satu sama lain.
“Kenapa pula ni?” saya tertanya-tanya.
Sudahlah sejak dari Kuala Lumpur, tak ada seorang pun waris yang mahu menemani jenazah di belakang van. Bila saya ajak, semua menolak. Macam-macam alasan diberikan. Malah, yang takut dengan jenazah ayah sendiri pun ada. Mahu tak mahu, terpaksalah saya memandu seorang diri membawa jenazah berbekalkan alamat yang diberikan.
Sekarang, apabila sampai di tanah perkuburan, tak ada pula yang mahu mengangkatnya. Masing-masing buat tak endah macam tiada apa-apa berlaku.

“Dah boleh angkat jenazah ni. Dah boleh kebumikan!” saya bersuara sekali lagi dengan nada tinggi sambil tangan menarik keranda. Ada sedikit perasaan marah dalam hati.
Ketika itu, barulah waris-warisnya yang tadi asyik menolak semasa sendiri datang membantu. Keranda berisi jenazah dikeluarkan lalu diusung ke lubang kubur yang sudah siap sedia menerima penghuninya.
“Okey, waris-waris boleh masuk, sambut jenazah dari dalam. Kita segerakan pengebumian,” ujar seorang lelaki yang agak berusia memberi arahan dari dalam liang lahad. Melihat pakaian dan gayanya, kemungkinan lelaki itu ialah penggali kubur di kampung tersebut.
Apabila mendengar permintaan penggali kubur tadi, sekali lagi waris-waris lelaki seramai tiga orang itu saling berpandangan semasa sendiri. Tak ada seorang pun yang ke depan, mahu melakukannya secara sukarela.
Saya perhatikan anak sulung mengerling pada si adik, membuat isyarat menyuruh adiknya turun ke dalam liang. Si adik pula tergeleng-geleng kepalanya, menolak.
“Eloknya warislah yang masukkan jenazah ayah,” sampuk saya apabila melihat tiada seorang pun anak-anak arwah ke depan.
“Abang kan sulung, abang lah turun dulu,” tiba-tiba saya terdengar si adik berkata-kata pada abangnya.
Agak lama saling menolak antara satu sama lain, barulah seorang waris yang lengkap berbaju Melayu dengan samping melangkah ke hadapan . Dia merupakan anak sulung arwah. Itu pun saya tengok dia hendak menolong setelah dipaksa oleh isterinya.
Waris yang berusia sekitar 50-an itu menyingsing lengan baju dan seluarnya. Kemudian, dia terjun ke dalam lubang kubur. Tak sampai setengah minit di dalam lubang kubur, tergopoh gapah dia naik ke atas semula. Kami yang melihat kelakuannya berasa hairan.
“Eh, kenapa naik balik?” tanya penggali kubur.
Waris tadi langsung tak mengendahkan pertanyaan itu. Sebaliknya tangannya asyik mengibas-ngibas baju yang terkena tanah seperti jijik atau geli. Kemudian dia menggeleng-geleng kepala.
“Ah, habis kotor baju aku. Eh, engkau orang turunlah!” arahnya pada adik beradik lain.
Mendengar kata-katanya, saya menggeleng kepala. Astaghfirullah… saya beristighfar. Patutlah dia tergopoh gapah naik ke atas semula. Rupanya sebab takut baju Melayu yang dipakainya kotor.
Walaupun diarahkan si abang tadi, adik-beradik lain pun sama juga. Semuanya berkeras tak mahu turun ke dalam lubang kubur menyambut jenazah ayah mereka sendiri.
“Habis, siapa nak sambut ni?” tanya penggali kubur lagi.
“Macam nilah…. awak buat semua ni. Berapa saja bayarannya, bagi tahu. Saya akan bayar semua,” jawab waris tadi dengan angkuh lalu menyalakan sebatang rokok. Langsung tak ada rasa bersalah dengan kata-kata yang dihamburkannya itu.
Saya yang mendengar ungkapannya sekali lagi menggeleng kepala. Bukan saya saja, muka penggali kubur tersebut juga saya tengok mula berubah. Saya tahu, mungkin dia bengang atau terasa dengan kata-kata waris si mati tersebut. Kata-kata itu seolah-olah menghinanya.
Saya yang di atas pun turut terkesan. Kalau terkena pada saya pun, mungkin akan marah juga. Kerja penggali kubur itu sama saja seperti saya yang memandu van jenazah. Apa yang kami lakukan ini bukanlah sebab mengejar duit. Kami tidak mengharapkan duit dari orang mati. Tidak kaya pun duit yang diperoleh dari menguruskan jenazah ni.
Tapi apa yang kami buat semua atas rasa tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai seorang Muslim kepada Muslim lain. Tugas saya dan penggali kubur sekadar membantu memudahkan urusan.
Memang penggali kubur itu boleh buat semua sehingga selesai. Tapi saja dia meminta waris-waris ikut sama membantunya supaya seorang anak itu boleh memberi khidmat terakhir kepada seorang ayah. Lagipun, lebih afdal jika seorang anak yang uruskan jenazah ayahnya.
Mujurlah penggali kubur tadi tidak naik angin. Dia tidak melayan sangat kata-kata waris si mati tadi.
“Kalau tak nak, tak apalah. Ada saudara mara lain?” tanyanya lagi.
Tidak lama kemudian, datang dua orang lelaki yang sanggup turun ke dalam kubur. Saya mendapat tahu mereka merupakan anak saudara kepada si mati. Alhamdulillah, selepas itu segala-galanya berjalan lancar. Jenazah selamat dikebumikan.
Semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, tiba-tiba hati saya jadi sebak hingga air mata saya mengalir. Kejadian yang saya saksikan tadi membuatkan saya terkesan. Sedih, geram semua ada.
*Kisah di atas diceritakan oleh Haji Rasshid Bin Buwang, seorang pemandu van jenazah kepada Mastika.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

