Menabung merupakan satu amalan yang harus ditanamkan dan disemai sejak kecil lagi. Namun melakukan sesuatu untuk kebaikan jangka masa panjang agak sukar, apatah lagi menjadikan ia satu amalan. Jika tidak dibiasakan dari peringkat awal pastinya banyak halangan kerana kita tidak didedahkan dengan konsep menabung atau menyisihkan sebahagian wang untuk simpanan masa depan.
Sebagai ibu bapa, jika kita inginkan anak-anak membesar menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dari segi kewangan, kita sepatutnya memberikan ruang kepada anak-anak untuk menguruskan atau berjinak-jinak dengan wang pada usia yang seawall mungkin.
Pensyarah Jabatan Undang-undang, Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Sharifah Hana Abd. Rahman, berkata Islam merupakan agama syumul yang mengatur umatnya dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi.

Malah, Islam merupakan agama sederhana yang menggalakkan penganutnya berjimat cermat dan tidak berlebih-lebihan dalam apa jua perkara. Norma dan nilai ekonomi dalam Islam diatur mengikut sumber hukum, berbeza dengan prinsip ekonomi buatan manusia. Inilah yang menjadikan ekonomi Islam jauh lebih unggul berbanding prinsip ekonomi komunis dan kapitalis.
Contoh jelas ialah konsep menabung dalam Islam sebagai usaha untuk menuju sebuah negara damai dan sejahtera. Larangan berbelanja secara boros mendorong umat Islam agar menabung. Seorang Muslim yang baik, sentiasa mematuhi tuntutan agama dan cenderung menabung lebih banyak. Malah, tingkat tabungan adalah penunjuk penting terhadap kemajuan sesebuah negara.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang mendorong umat Islam supaya menabung. Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 27,
“Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan…”
Ayat ini jelas menegah pembaziran dan menekankan konsep kesederhanaan. Mereka yang tidak menabung pula adalah golongan yang rugi dan akan menghadapi masalah kewangan yang tidak terduga pada masa hadapan.
“Disebabkan itulah, Islam meminta umatnya agar untuk tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut, seperti disebutkan dalam beberapa ayat berikut ini; surah al-Furqan ayat 67
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir…”
Allah juga berfirman dalan surah al-A’raf ayat 31,
“dan…makan dan minumlah kamu, dan janganlah berlebih-lebihan.“

Amalan Menabung Mampu Membanteras Kemiskinan
Menurut Sharifah Hana lagi, dalam meneliti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W., baginda telah mengingatkan umatnya agar menabung sebagai cara terbaik untuk membanteras kemiskinan. Ini dapat dilihat daripada beberapa hadis bermaksud:
“…Rasulullah S.A.W., pernah membeli kurma daripada Bani Nadhir dan menyimpannya untuk bekalan setahun buat keluarga…” (Hadis Riwayat Bukhari);
dan “Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Katanya, berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas bahawa menabung adalah amalan yang sangat digalakkan dalam Islam. Namun ini tidak bererti bahawa Islam menggalakkan umatnya bersikap kedekut lalu membiarkan harta tersebut beku dan tidak produktif. Harta yang tidak dilaburkan akan melumpuhkan sistem ekonomi kerana tidak wujud peluang pekerjaan berikutan kurangnya permintaan terhadap barang yang dijual di pasaran.

