VOL II : Ambil Kira Aspek Syariah Dalam Setiap Pelaburan

Dari Penulis

Salah satu bentuk tabungan yang mendapat perhatian daripada masyarakat adalah pelaburan. Sebagai umat Islam kita perlu berhati-hati dalam memilih jenis tabungan yang bagaimanakah yang diharuskan di sisi syarak. Sebarang pelaburan yang menyalahi hukum syarak adalah haram. Oleh itu pelaburan dengan mana-mana pihak yang menjalankan urus niaga secara tidak pasti halalnya juga adalah haram.

Menjelas lebih lanjut mengenai pelaburan yang sah di sisi Islam, Sharifah Hana memberi contoh pelaburan yang sangat popular pada hari ini iaitu pelaburan di Internet.

“Kemunculan Internet sebagai medium penting dalam teknologi perniagaan sangat dialu-alukan. Kaedah fikah ada menyebut, “Hukum asal dalam semua perkara adalah harus, kecuali ada dalil yang menunjukkan haram.”

Jelas, hukum asal mencari kekayaan melalui Internet adalah harus, kecuali wujud unsur dalam transaksinya menyalahi syarak yang menjadikannya haram.

“Daripada segi hukum, sesuatu urus niaga adalah harus dalam Islam, kecuali wujud unsur yang menjadikannya haram atau menyalahi hukum syarak. Elemen yang menjadi asas perbezaan kepada wujudnya hukum halal atau haram dalam urus niaga Internet, wujud dalam tiga perkara, iaitu riba, gharar atau ketidakpastian dan judi,” jelas beliau lagi.

Menjelas lebih lanjut mengenai tiga riba, Sharifah Hana berkata, ia boleh berlaku dalam beberapa keadaan.

Contohnya, dalam jual beli produk melalui Internet, jika si pembeli membayar menggunakan kad kredit konvensional, ia terdedah kepada riba. Ini berlaku jika si pembeli tidak membayar hutang kepada pengeluar kad itu dalam tempoh yang ditetapkan lalu dikenakan faedah atau riba.

Begitu juga riba yang diharamkan akan wujud jika jual beli di Internet membabitkan emas, perak atau mata wang. Barangan itu yang dikenali sebagai `barangan ribawi` disyaratkan mesti diserah dan diterima ketika itu atau pada satu masa (yadan bi yadin). Jika ia tidak dapat diserahkan pada masa itu juga seperti pada kebanyakan transaksi dalam Internet, maka ia adalah riba.

Antara contoh gharar dalam transaksi Internet pula adalah seperti maklumat produk jualan yang kabur seperti tidak diketahui bentuk, jenis, berat, kuantiti dan sebagainya.

Dalam pelaburan Internet, gharar berlaku apabila pelabur tidak mengetahui secara jelas terma perjanjian termasuk pembahagian untung rugi, bidang pelaburan dan sebagainya.

Gharar juga wujud apabila skim cepat kaya menjanjikan jaminan keuntungan dan pulangan yang pasti tanpa perlu melakukan sebarang usaha atau menghadapi sebarang risiko.

Transaksi dalam Internet juga menjadi haram terdapat unsur perjudian. Sebagai contoh, dalam kebanyakan program skim piramid dan pelaburan Internet, peserta akan meletakkan sejumlah wang untuk mendapat wang segera yang lebih besar jumlahnya. Ini merupakan pertaruhan atau judi yang diharamkan.

Secara umum, pelaburan Internet sebegini adalah skim cepat kaya alaf baru yang mengharapkan kepada nasib untuk mencari rezeki. Pelabur hanya perlu menunggu hasil tanpa ada sebarang usaha. Ini jelas bertentangan dengan konsep pelaburan dalam Islam yang menekankan konsep untung dan rugi.

Jelas beliau lagi, tidak semua pelaburan Internet ini haram. Terdapat jenis pelaburan yang halal terutamanya jika terdapat panel Penasihat Syariah yang pakar serta memenuhi piawaian syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Terdapat juga institusi kewangan sah yang menyediakan kemudahan pelaburan melalui laman web masing-masing.

Kad Kredit Cetus Fenomena Lambakan Hutang

Penggunaan kad kredit boleh dilihat daripada aspek positif dan juga negatif. Kad kredit atau lebih dikenali sebagai ‘wang plastik’ merupakan punca peningkatan masalah inflasi namun bilangan penggunanya diramal akan bertambah tahun demi tahun.

“Antara faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah tidak perlu menanggung risiko dirompak kerana membawa wang tunai yang banyak untuk membeli-belah,” katanya.

Sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut secara bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun.

Namun begitu, konsep berbelanja secara tunai adalah yang terbaik. Berbelanjalah apabila ada wang, dan jauhilah sikap gemar berhutang kecuali dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Permintaan emas meningkat, KESS sasar 30 cawangan baharu tahun ini!

KEDAI Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS), jenama yang gah dengan jolokan 'Soorga Emas Preloved', terus mengorak langkah agresif...

More Articles Like This