Johann Wolfgang von Goethe (1749-1832) umumnya diiktiraf antara penulis paling hebat dalam sejarah kesusasteraan Jerman. Beliau adalah seorang penyair, novelis dan penulis drama yang merupakan antara tokoh terhebat dalam kesusasteraan Barat, sebaris dengan Voltaire, Rousseau, Montesquie, Lord Byron, William Blake, Oliver Goldsmith dan Shakespeare.
Tidak hairanlah banyak institut dan persatuan di seluruh Eropah dan Amerika Utara dinamakan sempena namanya, iaitu Institut Goethe. Selain itu, Goethe juga terlibat dalam bidang politik dan pernah menjadi menteri di kota Weimar, Jerman.
Namun di sebalik kehebatannya dalam bidang kesusasteraan serta politik, tidak ramai yang tahu bahawa Goethe adalah seorang yang menyanjungi Islam. Malah, mungkin dia juga sebenarnya telah memeluk Islam walaupun ramai yang menafikannya. Mungkin ini berlaku kerana tiada penyelidikan yang mendalam dilakukan, atau mungkin juga cuba disembunyikan oleh pihak Barat.

Kepercayaan dan pegangan Goethe terhadap Islam bagaimanapun telah diselidiki dengan mendalam oleh Shaykh Abdalqadir Al-Murabit, atau nama asalnya Ian Dallas. Shaykh Abdalqadir lahir di Scotland dan pernah menjadi pelakon, penulis drama serta promoter tokoh-tokoh hiburan termasuk kumpulan The Beatles sebelum memeluk Islam di Fez, Maghribi pada 1967.
Selepas memeluk Islam, Abdalqadir melibatkan diri dalam dunia kesufian dan mengkaji serta menulis pelbagai buku dan makalah mengenai Islam. Salah sebuah daripadanya adalah tentang benarkah Goethe adalah seorang Muslim.
Hasil penyelidikannya melalui karya-karya Goethe dan surat kepada rakan-rakannya, Abdalqadir tidak ragu-ragu lagi untuk mengatakan bahawa memang benar, penulis ulung bangsa Jerman itu sebenarnya adalah seorang Muslim.

MENURUT Abdalqadir, sebenarnya pada usia mudanya lagi Goethe ingin belajar bidang pengajian timur, tetapi bapa beliau mahukannya mempelajari bidang undang-undang. Goethe amat mengagumi para pengembara awal ke negara Arab seperti Carsten Niebuhr dan Johann David Michaelis dan membaca segala tulisan mereka mengenai pengembaraan tersebut.
Sebenarnya juga, sejak usia 24 tahun (1773) lagi Goethe telah mengungkapkan kekagumannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan pujian kepada ajaran Islam yang disifatkannya sebagai indah dan dinamik.
Perasaan kagum itu telah dinyatakan dalam puisinya yang berjudul Mahomet (1774). Di dalam Mahomet, Goethe menulis pula lagu puji-pujian yang berjudul Mahomet Gesang (Lagu Mahomet).
Maksud nabi itu dinyatakan dalam metafora sebatang anak sungai, bermula dari satu punca yang amat kecil dan tumbuh menjadi kuasa kerohanian yang amat besar, berkembang, terbentang dan berakhir dengan hebat sebagai lautan, lambang ketuhanan.
Beliau menjelaskan dengan terperinci kebijaksanaan baginda membawa orang lain bersamanya seumpama anak sungai yang memanjang dan melebar hingga ke muara, lalu mengalir ke samudera.
Salah satu bait puisi itu berbunyi, “juga kamu semua, mari/dan kini lebih ajaib dia menyebarluaskan/seluruh bangsa menyanjung pemimpin ini.” Dalam satu manuskrip tulisan tangan Paralipomena III di dalam Divan, Goethe menulis pada 1816: “Ketua manusia yang diciptakan/ Muhammad”.

SETELAH bersara dari dunia politik, Goethe mula belajar membaca dan menulis bahasa Arab bersama-sama profesor-profesor kajian timur seperti Paulus, Lorsbach dan Kosegarten. Selain itu beliau mengkaji manuskrip-manuskrip bahasa Arab dan al-Quran.
Bagi mendalami lagi Islam, Goethe mempelajari pula buku panduan, tatabahasa, buku pengembaraan, puisi dan antologi bahasa Arab, kitab-kitab sirah Rasulullah s.a.w. serta bertukar-tukar pandangan dengan para cendekiawan timur. Goethe sangat menggemari buku Divan karya Hafiz yang diterjemahkan ke bahasa Jerman oleh Hammer (Mei 1814).
Goethe malah sanggup bersusah payah membeli manuskrip-manuskrip asal bahasa Arab karya-karya kesufian Jalaluddin Rumi, Nur al Din Abdul Rahman ibn Ahmad Jami, Khwaja Shamsuddin Muhammad Hafiz, Sheikh Muslihuddin Saadi Shirazi, Fariduddin Attar, tafsir Qur’an, doa-doa, kamus bahasa Arab-Turki, teks berkenaan pembebasan hamba, urusan jual beli, faedah serta riba.
Pada 1814/15 ketika usianya 65 tahun, Goethe mula menumpukan perhatiannya dalam menghasilkan puisi-puisi ketimuran dan kemudian menghimpunkannya dalam sebuah buku yang berjudul West-ostliche Divan (1719).

Apa yang menarik, judul tersebut juga ditulis oleh Goethe dalam huruf dan bahasa Arab, Al-Diwan Al-Syarqiyyu li Al-Muallifi Al-Gharbiyyi. Puisi pertama dalam buku tersebut diberikan judul Hagire, yang berasal dari perkataan ‘Hijrah‘. Malah kebanyakan puisi dalam Divan ini secara jelas tercetus daripada, dan berkaitan, dengan ayat al-Quran yang berbeza-beza.
Pada usia 70 tahun, Goethe menulis yang dia sangat berhasrat untuk ‘meraikan dengan penuh penghormatan akan malam di mana Rasulullah menerima wahyu yang melengkapkan al-Quran’. Beliau juga menulis: “Tidak ada seorang pun yang akan tertanya-tanya betapa berkesannya Kitab ini. Kerana itulah ia telah diisytiharkan sebagai bukan ciptaan oleh pengagum-pengagumnya (manusia)’’ dan menambah: “Kitab ini akan kekal besar kesannya untuk selama-lamanya.’’
Bukan itu saja, Goethe juga pernah membaca al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman dan bahasa Inggeris secara kuat di hadapan ahli-ahli keluarga Duke of Weimar serta para tetamunya.
Peristiwa ini disaksikan oleh penulis terkenal Jerman, Friedrich von Schiller dan isterinya yang kemudian dicatatkan oleh Schiller dalam suratnya kepada Karl Ludwig von Knebel pada 22 Februari 1815.

Kekagumannya serta keyakinan Goethe kepada Al-Quran dicatatkan dalam Divannya:
Ob der koran von ewigkeit sei? (sama ada al-Quran itu abadi?)
Darnach frag’ ich nicht! (Aku tidak mempersoalkannya!)
Da er das buch der Bcher sei (Itulah buku daripada buku-buku)
Glaub’ ich aus Mosleminen-pflicht. (Aku yakini kerana tanggungjawab orang Muslim.)
Pada musim luruh 1813, seorang tentera Jerman dari Sepanyol membawakan kepada Goethe sebuah manuskrip Arab tulisan tangan yang mengandungi ayat terakhir surah An-Nas (114). Goethe cuba meniru ayat tersebut sendiri dengan bantuan profesor-profesor di Jena.
Pada Januari 1814 pula, Goethe mengunjungi masyarakat Islam Bashkir yang berkhidmat dalam pasukan tentera Rusia dan menyertai mereka bersolat Jumaat di sebuah gimnasium penganut Protestan di Weimar.
Dalam suratnya kepada Heinrich von Trebra pada 5 Januari 1814, Goethe menyatakan: “Bercakap mengenai ramalan, aku perlu memberitahu kamu bahawa ada perkara-perkara yang berlaku kebelakangan ini, yang mereka tidak akan benarkannya diucap oleh seorang nabi.
“Siapakah yang akan dibenarkan beberapa tahun dahulu, untuk menyatakan bahawa upacara suci pengikut Muhammad dan surah-surah al-Quran akan dibisikkan di dalam auditorium gimnasium pengikut Protestan kita tetapi ia telah berlaku dan kami telah mengikuti upacara Bashkir itu, melihat ulama mereka dan mengalu-alukan putera raja mereka ke dewan berkenaan. Atas permintaan istimewa, aku telah dihadiahkan busur dan panah yang demi ingatan abadiku, akan kugantungkannya di atas serombong rumahku sebaik sahaja Tuhan menganugerahkan balasan yang baik untuk mereka.”

SATU LAGI bukti pengislaman Goethe adalah tulisannya pada 24 Februari 1816, yang menyebut: “Penyair (Goethe)… tidak menolak sangkaan bahawa dia adalah seorang Muslim.”
Dalam sebuah puisi Divan, Goethe berkata:
Ndrrisch, da_jeder in seinem Falle (Bodohnya semua orang dalam hal ini)
Seine Besondere Meinung preist! (Memuji pendapatnya sendiri!)
Wenn Islam Gott ergebben hei_t (Jika Islam bermaksud berserah kepada Tuhan)
In Islam leben und sterben wir alle. (Kita semua hidup dan mati dalam Islam)
Selain terpesona dengan bahasa al-Quran, akan keindahan dan ketakjubannya, Goethe juga amat tertarik dengan maksud keagamaan serta falsafahnya. Tuhan Yang Esa adalah satu daripada tema-tema utama dalam karyanya.
Semasa membuat kajian intensif al-Quran pada 1771/1772, Goethe sanggup menyalin dan sebahagiannya membetulkan teks terjemahan langsung al-Quran yang pertama dalam bahasa Arab kepada bahasa Jerman.
Selain itu, Goethe menyalin beberapa ayat al-Quran yang mengajar manusia bagaimana harus melihat alam ini sebagai tanda-tanda undang-undang Tuhan. Goethe pernah menyatakan bahawa kita patut menyedari “Kebesaran Tuhan dalam perkara-perkara kecil” – “Gottes Gr `e im Kleinen” dan merujuk kepada ayat ke-25 Surah al-Baqarah di mana diberikan metafora mengenai lalat.
Sehingga ke hari ini, manuskrip tulisan tangan beliau mengenai kajian intensif pertamanya terhadap al-Quran pada 1771/1772 masih disimpan di Institut Goethe dan Arkib Schiller di Weimar.

Goethe juga amat kagum akan hakikat Allah berhubung dengan manusia melalui nabi dan memperakui kenabian Muhammad s.a.w.. Dalam suratnya kepada A.O. Blumenthal pada 28 Mei 1819, Goethe malah menulis dengan merujuk kepada Surah Ibrahim, ayat 4, bahawa, “Memang benar, apa yang Allah nyatakan dalam al-Quran: Kami tidak menghantar seorang nabi kepada satu kaum kecuali dalam bahasa mereka.”
Merujuk kepada ayat yang sama, Goethe mengulanginya dalam surat beliau kepada penulis Scotland, Thomas Carlyle: “Al-Quran menyatakan: Tuhan telah memberikan setiap kaum seorang nabi dalam bahasanya sendiri.” Ia muncul sekali lagi pada 1827 dalam sebuah esei Goethe yang disiarkan oleh German Romance, Jilid 1V, Edinburgh 1827.
Agama sejati ditunjukkan oleh amalan yang baik. Dalam hal ini Goethe paling menggemari amalan bersedekah. Beberapa buah puisi di dalam Divan yang bertajuk Buch der Sprche, Goethe berbicara mengenai ‘kenikmatan memberi/lihatnya dengan betul dan kamu akan sentiasa memberi’, yang mana dalam hidup ini pun penuh dengan kerahmatan.
Bagi Goethe, apa yang berlaku semuanya adalah takdir Ilahi, hinggakan serangkap puisi dalam Divan menyebut: ‘Jika Allah sudah menentukan aku menjadi cacing/Dia sudah tentu akan menjadikan aku cacing’, dan seterusnya ‘mereka (contoh-contoh metafora yang digunakan dalam Divan) mewakili petunjuk dan takdir menarik yang lahir daripada takdir Tuhan yang tidak mampu dikaji dan difikirkan; mereka mendidik dan mengesahkan Islam yang sejati, penyerahan sepenuhnya kepada kehendak Tuhan, keyakinan bahawa tiada seorang pun yang mampu mengelakkan daripada takdirnya’.
Semua ini menyerlahkan sifat peribadi Goethe yang berserah kepada takdir Tuhan dan menerimanya dengan redha. Sikap Goethe ini dinyatakan juga dalam karya-karyanya yang lain seperti Egmont, Dichtung und Wahrheit, Urworte Orphisch, Wilhelm Meisters Wanderjahre dan sebagainya.
Satu contoh menarik daripada kehidupan beliau sendiri ialah reaksinya terhadap kemalangan kereta kudanya ketika baru memulakan perjalanan menemui Marianne von Willemer pada Julai 1816, yang ingin dikahwini selepas kematian isterinya, Christiane. Goethe melihat kejadian ini sebagai satu amaran supaya tidak meneruskan hajatnya. Goethe kemudian mendedikasikan sebuah puisi bertajuk Suleika untuk Marianne.
Selepas itu Goethe menulis: ‘Oleh sebab itu kita harus terus kekal dalam Islam (yang bermaksud: menyerah sepenuhnya kepada kehendak Tuhan).” Dalam suratnya kepada sahabatnya yang bernama Zeiter bertarikh 20 September 1820, Goethe berkata: “Aku tidak boleh beritahu kamu lebih daripada ini, bahawa di sini juga aku cuba untuk kekal dalam Islam.’’
Ketika demam kepialu berleluasa di Eropah pada 1831 dan mengorbankan ramai orang, Goethe mengirim pula sepucuk surat untuk menenangkan sahabatnya, Adele Schopenhauer, dengan berkata: “Di sini tidak ada orang yang boleh menasihati yang lain; setiap orang perlu memutuskannya sendiri. Kita semua hidup dalam Islam, tidak kira apa jua bentuk yang kita pilih untuk memberi semangat kepada diri kita sendiri.”

BUKTI LAIN tentang keislaman Goethe ialah tulisannya pada Disember 1820 untuk mengucapkan terima kasih atas pemberian sebuah buku aforisme dari sahabatnya, Willemer, dan berkata: “Ia menepati… dengan segala pandangan munasabah keagamaan dan ia adalah suatu Islam yang mana kita semua harus memperakuinya lambat laun nanti.”
Sebagai orang yang terlibat dalam perang terhadap Perancis pada 1792, Goethe menyatakan bahawa kepercayaan terhadap takdir Tuhan inilah yang merupakan luahan paling luhur dalam Islam. “Agama Muhammad memberi contoh paling baik dalam hal ini.”
Goethe seterusnya menceritakan tentang perbezaan antara seorang nabi dengan seorang penyair. Dalam hal ini Goethe mengakui Muhammad s.a.w. adalah seorang nabi. Kata Goethe, “Baginda bukan seorang penyair dan dengan itu, al-Quran dilihat sebagai satu undang-undang Tuhan dan bukannya sebuah buku daripada seorang manusia, dibuat untuk pendidikan atau hiburan.”
Penyair Jerman itu amat tertarik dengan metafora kesufian Saadi mengenai “lalat sedang bercinta’’ yang terbang ke arah cahaya, lalu mati. Dalam satu bab mengenai Jalaluddin Rumi, Goethe mengakui doa kepada Allah dan keberkatannya: “Sekarang ini pun, tasbih di mana nama Allah diagung-agungkan dengan 99 sifatnya adalah suatu pujian. Sifat-sifat yang mengukuh dan menyangkal menunjukkan makhluk yang sukar difikirkan; pemujanya terpana, menyerah dan menenangkan dirinya.”

MELALUI buku, surat dan tulisan-tulisan Goethe, Abdalqadir tidak meragui lagi bahawa penyair terulung Jerman itu adalah seorang Muslim. Segala yang terkandung dalam penulisan saintifiknya, terutama Zur Morphologie, memaparkan pemikiran Goethe bahawa alam semesta adalah ciptaan yang Maha Agung dan Pencipta tidak ada hubungan dengan penciptaan-Nya.
Sekalipun hidup dalam sebuah negara bukan Islam, Goethe didapati dengan sepenuh hati menerima dan mengisytiharkan komitmen beliau kepada dua kalimah Syahadah – memperakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah utusan-Nya.
Melalui penemuan-penemuan tadi, Institut Weimar pada 1995 telah menerbitkan sebuah buku berjudul Fatwa Penerimaan Goethe Sebagai Muslim. Fatwa itu kemudian disiarkan dalam tabloid Islamische Zeitung Nr. 5/1995 dengan judul Fatwa uber die Anerkennung als Muslim.

Bahkan, dikatakan juga terdapat sebuah dokumen yang mencatatkan bahawa pada saat-saat terakhir sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Goethe telah menggerakkan jari telunjuknya dan membentuk huruf `W’. Ada pihak yang mengatakan ‘W’ itu bermakna nama tengahnya, Wolfgang, namun sebahagian besar mengatakan ia adalah kalimah Allah dalam huruf Arab kerana telunjuk itu bergerak dari kanan ke kiri.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

