Isteri dimaki hamun hanya kerana terlambat menghidangkan makan malam untuk suami? Hanya sebab cemburu isteri disepak terajang sehingga mati? Sedih dan menyayatkan hati, namun semua ini bukan cerita dongeng tetapi kisah benar yang berlaku di Malaysia.
Tiada lagi cinta, tiada lagi sayang. Mengapa suami, yang satu ketika dulu begitu mencintai isterinya,tergamak berlaku begitu kejam?

Personaliti Pendera
Kebanyakannya terdiri dari mereka yang panas baran, tidak menghormati orang lain, mempunyai ego yang tinggi, mempunyai masalah mental dan mungkin pernah menjadi mangsa penderaan semasa kecil.
Personaliti Mangsa
Pasif, terlalu bergantung kepada suami, tiada adik beradik / ahli keluarga yang dapat membantu, lebih mengutamakan imej “isteri dan keluarga bahagia” dari keselamatan diri dan anak-anak.
Keganasan rumahtangga atau keganasan domestik yang melibatkan suami dan isteri atau pasangan hidup adalah satu senario yang berlaku bukan Sahaja di Malaysia tetapi wujud di seluruh dunia.
Statistik yang diperoleh dari ‘Women Aid Federation’ England menunjukkan terdapat 13 juta kes penderaan rumahtangga dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia. Di England sahaja, purata dua wanita dibunuh setiap minggu akibat pergaduhan antara suami isteri.
Wanita Malaysia dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaporkan sebanyak 2,700 kes antara tahun 2002 dan 2006. Dan laporan lain menunjukkan terdapat peningkatan terhadap kes dilaporkan dari tahun ke tahun.
Keganasan rumahtangga boleh berlaku menerusi lima cara – fizikal, psikologi dan emosi, sosial, kewangan dan seksual.

Sekali Cukup!
Mangsa tidak bertindak dan mendiamkan diri selepas didera buat pertama kali. Ini menyebabkan pendera berani untuk mengulangi perbuatan mereka.
Keengganan mangsa bertindak atau membuat aduan-malu dengan keluarga dan masyarajat, takut dan khuatir suami akan bertindak lebih ganas dan mencederakan diri dan keluarga.

Kesan
Kecederaan fizikal yang kronik ke atas mangsa seperti patah tulang dan rosak buah pinggang kerana kerap ditendang oleh pendera dan seterusnya mati akibat didera.
Gangguan mental. Jika dibiarkan berterusan, mangsa akan mengalami trauma, masalah kemurungan, hilang keyakinan diri dan enggan berhadapan orang ramai.
Anak-anak juga boleh menjadi mangsa trauma dan berkemungkinan akan mengulangi perbuatan yang sama apabila berkahwin nanti kerana telah menyaksikan contoh yang tidak baik semasa kecil.

Tindakan & Bantuan
Bincang cara baik dengan suami agar dia sedar kesilapan dan berubah. Pada masa yang sama kongsi masalah dengan ibu bapa / ahli keluarga terdekat yang dapat memberi nasihat dan bantuan. Sekiranya gagal, selamatkan diri dan keluar dari rumah dengan anak-anak.
Hak Anda & Akta Keganasan Rumahtangga 1994
- Boleh membuat aduan kepada pihak polis dan pejabat Kebajikan
- Boleh tinggal di rumah perlindungan jika anda tidak berasa selamat di rumah
- Boleh memohon Perintah Perlindungan Sementara dari mahkamah untuk menghalang pendera dari mendekati dan memukul anda
- Melalui Perintah Perlindungan Sementara juga, anda boleh meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap pendera jika anda khuatir pendera akan bertindak lebih agresif dan mengancam keselamatan anda.
- Jika anda sedang menjaga seseorang yang didera (seperti anak atau orang yang kurang upaya), anda juga boleh memohon Perintah Perlindungan Sementara untuk mereka.
- Jika orang yang melakukan kesalahan itu melanggar perintah tersebut, beliau boleh dihukum oleh mahkamah.

