Pemilihan Armada Bersatu: Adakah benar-benar telus atau ada campur tangan?, soal Muhammad Faiz

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PROSES pemilihan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus dibelenggu kontroversi walaupun keputusan muktamad telah diumumkan semalam.

Ini selepas Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad membangkitkan persoalan sama ada proses pemilihan yang dilaksanakan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu itu benar-benar dijalankan secara telus atau terdapat campur tangan individu tertentu dengan agenda peribadi.

Menurut Muhammad Faiz, proses dan tatacara pemilihan Armada Bersatu kali ini dilihat tidak dibuat dengan baik serta teratur.

Beliau berkata, pengumuman berhubung keputusan pemilihan Armada itu telah mengundang seribu satu persoalan dan tanda tanya.

Muhammad Faiz mendakwa, pengumuman JPP membuka ruang bagi melakukan bantahan sehingga pukul 10 pagi, Isnin lalu merupakan satu proses yang tidak teratur dan di luar kebiasaan kerana bantahan sepatutnya hanya boleh dibuat selepas pengumuman dibuat.

“Apakah perkara yang ingin dibantah jika jumlah undi, pemenang dan lain-lain hal berkaitan proses pengundian belum diketahui secara umum?

“Apakah terdapat sebarang kebocoran maklumat yang telah berlaku daripada pihak JPP kepada mana-mana pihak calon?

“Pemilihan parti sejak dahulu lagi telah mengikut konvensyen prosedur pelaksanaan pilihan raya umum yang biasa kita jalani. Pernahkah kita dengar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka ruang bantahan sebelum keputusan diumumkan?,” soal Muhammad Faiz dalam kenyataan.

Baca artikel lain: Bersatu hancur jika pemilihan ada campur tangan ‘individu berpengaruh’!

Lebih menghairankan, Muhammad Faiz berkata, bantahan-bantahan yang telah diterima mendedahkan beberapa perkara yang amat ganjil.

Sebagai contoh, kata beliau, keabsahan undi daripada Armada Bersatu Bahagian Beaufort yang pada awalnya layak bersidang tetapi secara tiba-tiba tidak diberi kelulusan untuk bersidang.

“Jika benar Armada Bahagian Beaufort tidak layak bersidang, mengapa kertas undi masih diedarkan untuk mereka?

“Ini satu persoalan besar yang perlu dijawab kerana jika benar ada usaha untuk menghalalkan perwakilan tidak sah, maka kita sedang berhadapan dengan masalah yang lebih serius daripada sekadar teknikaliti pemilihan,” jelasnya.

Muhammad Faiz turut membangkitkan persoalan bagaimana jumlah perwakilan Armada Bersatu Bahagian Kalabakan secara tiba-tiba kepada lebih 180 perwakilan daripada 12 cawangan.

Sedangkan, katanya, Mesyuarat Pengurusan Bersatu pada 22 Oktober lalu telah meluluskan senarai perwakilan rasmi dengan hanya 50 perwakilan daripada empat cawangan sahaja.

“Dari mana datangnya angka tambahan ini? Dari mana datangnya perwakilan-perwakilan ini yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini?

“Adakah ini satu taktik untuk menambah undi secara tidak sah? Keseluruhan proses ini menuntut lebih daripada sekadar penjelasan biasa.

“Kami menolak sebarang bentuk manipulasi atau campur tangan yang boleh mencemar integriti Bersatu. Ahli-ahli Bersatu berhak mendapat jawapan yang sahih, bukan sekadar alasan atau penjelasan yang direka-reka untuk menutup kebenaran,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This