ANALISIS
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
BEBERAPA jam selepas Muhammad Hilman Idham diumumkan memenangi jawatan Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-2027, ada dakwaan mengaitkan kemenangan ADUN Gombak Setia itu dengan campur tangan pemimpin berpengaruh dalam Bersatu.
Dakwaan itu semakin menjadi tumpuan apabila calon jawatan Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamarudin menzahirkan perasaan tidak puashati dengan perjalanan proses pemilihan yang didakwa bermasalah.
Beliau yang tewas kepada Nurul Ezzati Azmi mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang bertindak menangguhkan keputusan pemilihan Srikandi pada Sabtu lalu walaupun beliau dimaklumkan memenangi jawatan ketua sayap tersebut.
Nurul Fadzilah turut mendakwa terdapat campur tangan beberapa individu berpengaruh yang membuat ugutan kepada perwakilan Srikandi Muda supaya mengundi calon tertentu.
Persoalannya adakah dakwaan itu benar? Adakah wujud ‘individu berpengaruh’ tersebut? Adakah individu ini juga bertanggungjawab campur tangan bagi pemilihan Ketua Armada yang pada asalnya melalui keputusan tidak dirasmi dimenangi oleh Akmal Zahin Zainal?
Bagaimanapun penulis bersangka baik dengan menganggap dakwaan atau desas-desus bahawa berlakunya campur tangan individu berpengaruh dalam pemilihan Bersatu hanya kenyataan politik atau ibarat, “rumah siap pahat berbunyi”.
Kemenangan Hilman dan Nurul Ezzati harus dihormati kerana mereka juga ada kewibawaan serta kemampuan untuk mengemudi kedua-dua sayap Bersatu itu.
Penulis yakin mereka juga tidak memerlukan ‘tangan ghaib’ untuk menang kerana kedua-duanya turun ke gelanggang dengan agenda dan visi tersendiri.
Namun begitu dakwaan berlaku campur tangan dalam pemilihan Armada dan Srikandi Muda tidak boleh dipandang ringan kerana jika ia benar-benar terjadi dan tidak kiralah siapapun ‘individu berpengaruh’ berkenaan ia adalah tindakan tidak bijak.
Dakwaan itu perlu disiasat kerana perbuatan berkenaan jika benar berlaku bukannya akan menguatkan parti sebaliknya sejengkal demi sejengkal sedang menyeret Bersatu ke lembah kehancuran. Pada masa sama dakwaan tersebut juga adalah tidak adil kepada Hilman dan Nurul Ezzati.
Ketika parti itu dalam keadaan bergelut untuk memperkukuhkan kembali kedudukan demi mempertahankan apa yang dicapai dalam PRU-15, pemimpin Bersatu janganlah melakukan tindakan politik jahil seperti mahu campur tangan dalam pemilihan parti.
Selama ini mereka mendakwa musuh politik menggunakan kuasa dimiliki untuk melemahkan Bersatu tetapi bagaimana pula dengan campur tangan oleh pemimpinnya sendiri dalam pemilihan parti, tidakkah tindakan itu akan melemahkan Bersatu jika benar ia berlaku?
Bukankah sejarah politik sudah membuktikan sesebuah parti tidak akan lemah kerana serangan luar tetapi boleh hancur akibat manuver politik dalaman?
Atas sebab itulah, diharapkan apa yang didakwa biarlah sekadar dakwaan semata-mata bukan realiti. Ia kerana kalau benar ada campur tangan, ia membuktikan sesetengah pemimpin Bersatu bersikap hipokrit apabila bercakap soal demokrasi dan ketelusan.
Pemilihan parti adalah hak eksklusif ahli-ahli parti menentukan siapa pemimpin yang nereka mahu, justeru jangan dirampas apatah lagi dikhianati hak mereka semata-mata mahu menjayakan percaturan politik mana-mana ‘individu berpengaruh’.
Kalaulah ada mana-mana pemimpin mahu campur tangan dalam pemilihan demi agenda politiknya, lebih baik tidak perlu ada pemilihan!
Percayalah Bersatu kini dilihat semakin lemah dan jangan dilemahkan lagi dengan ‘kerja-kerja bodoh’ yang boleh melumpuhkan parti itu. Soalnya dalam Bersatu siapakah mereka yang bersedia menjadi ‘parasit’ tersebut?
Apapun semoga dakwaan ada campur tangan ‘individu berpengaruh’ tidak merebak kepada pemilihan Naib Presiden dan Ahli Majlis Pimpinan, walaupun desas-desus yang merimaskan sudah kedengaran.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

