PELAKON Idzham Ismail mengesahkan mahligai perkahwinannya dengan Nur Abilah Shamsudin berakhir dengan perceraian.
Idzham atau Mohammed Idzham Ismail,36, berkata, keputusan untuk berpisah adalah muktamad.
Malah, dia juga menegaskan tidak akan rujuk semula dengan bekas isterinya.
“Mahkamah putuskan kami sah bercerai. Tidak akan dirujuk,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram Story.
Meskipun tidak mendedahkan faktor perceraian tersebut berlaku, namun Idzham sempat menitipkan pesanan mengenai setiap perbuatan perlu dijawab kepada Allah.
“Pesan saya, Allah ada. Jawab dengan Allah untuk segala yang dibuat,” katanya.
Terdahulu, pelakon Tarik Aku ke Syurga itu mengakui berdepan kemelut rumah tangga sejak empat bulan lalu yang membawanya dan isteri ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 10 Oktober lalu.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Ogos 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Sofea Inara, 7, dan Muhammad Idrus, 4.

