
ESOK Selasa 5 November 2024, mulai pukul 6.30 pagi hingga 7.30 malam waktu tempatan, atau 6.30 petang hingga 7.30 pagi Rabu waktu Malaysia, 161.42 juta pengundi berdaftar Amerika di 50 negeri dan ibu negara Washington DC akan keluar mengundi memilih presiden baharu.
Persaingan memilih Presiden Amerika ke-47 menampilkan pertarungan sengit antara naib presiden merangkap calon parti Demokrat, Kamala Harris dengan mantan presiden ke-45, Donald Trump.
Waktu mengundi di atas adalah menurut waktu di Washington DC. Malaysia dan Washington DC berbeza waktu 12 jam dengan Malaysia di hadapan.
Selain itu, Amerika mempunyai Zon Waktu Piawai (ZWP) Atlantik (Atlantic Standard Time), ZWP Timur (Eastern Standard Time), ZWP Tengah (Central Standard Time), ZWP Pegunungan (Mountain Standard Time) dan ZWP Pasifik (Pacific Standard Time).
Juga terdapat zon waktu yang masing-masing hanya terpakai untuk Alaska dan Hawaii, iaitu ZWP Alaska (Alaska Standard Time) dan ZWP Hawaii (Hawaii-Aleutian Standard Time).
Perbezaan waktu ini menyaksikan waktu pusat mengundi dibuka dan ditutup berbeza. Kerana itu keputusan pengundian juga akan diketahui secara berperingkat.
Pilihan raya presiden 2024 dianggap mendebarkan. Calon Demokrat, Kamala Harris mahu mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjadi presiden, dan tokoh kedua bukan kulit putih menjadi presiden selepas Barrack Obama.
Kamala dipilih calon apabila penyandang jawatan presiden ke-46, Joe Biden, tidak mempertahan jawatan. Mampukah Kamala mencipta sejarah? Sebelum ini mantan Setiausaha Negara dan isteri mantan Presiden Bill Clinton, Hillary Clinton, cuba mencipta rekod pada pilihan raya presiden 2016 tetapi calon Demokrat itu tewas kepada Trump.
Pada pilihan raya presiden 2020, Trump tewas kepada Joe Biden. Kekalahan ini memberi kesan pahit kepadanya. Dia berazam kembali ke Rumah Putih untuk kali kedua. Perlembagaan Amerika menetapkan, seseorang hanya boleh menjadi presiden maksimum dua penggal, empat tahun setiap penggal.
Saingan Kamala dengan Trump memang sengit. Walau pun Trump menegaskan lebih mudah menewaskan Kamala berbanding Joe Biden, itu mungkin hanya kata-kata untuk menyedapkan hati sendiri.
Sehingga rencana ini ditulis malam tadi, tinjauan umum dan syarikat media menuju hari pengundian mendapati saingan sangat rapat (neck to neck). Sokongan diterima oleh kedua-dua calon seimbang. Tidak ada yang memiliki kelebihan menonjol.
Ada tinjauan menunjukkan Kamala di hadapan, ada menyatakan Trump di hadapan. Perbezaan sokongan hanya sekitar satu atau dua peratus, yang boleh berubah pada hari mengundi. Perjuangan dijangka tertumpu kepada negeri-negeri yang mempunyai ramai ‘undi pemilih’ dan berlarutan hingga kiraan undi di negeri-negeri terakhir.
Pemilihan presiden Amerika tidak dilakukan secara terus oleh pengundi, tetapi oleh ‘undi pemilih’ atau ‘electoral votes’ di setiap negeri dan Washington DC. Undi pemilih ini tidak sama. Ada negeri mempunyai banyak undi pemilih, ada yang sedikit, seperti ditetapkan perlembagaan Amerika.
Negeri yang mempunyai paling banyak undi pemilih ialah California dengan 54 undi, diikuti Texas dengan 40 undi. Seterusnya Florida (30), New York (28), Pennsylvania (19), Illinois (19), Ohio (17) Georgia (16), North Carolina (16), Michigan (15), New Jersey (14).
Negeri yang paling sedikit undi pemilih ialah Alaska, Washington DC, Delaware, North Dakota, South Dakota, Vermont dan Wyoming. Setiap negeri ini mempunyai hanya tiga undi pemilih.
Jumlah undi pemilih keseluruhannya ialah 538 undi. Seorang calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya 270 undi untuk diisytihar pemenang sebagai presiden dipilih, atau ‘president elect,’ pada November. Presiden baharu mengangkat sumpah jawatan pada Januari tahun berikutnya.
Kerana pemilihan presiden tidak dibuat secara terus, peranan pengundi pada hari pilihan raya ialah mengundi calon yang bertanding, dalam kes ini Kamala Harris dan Trump, untuk menentukan pemenang di sesebuah negeri tertentu.
Calon yang menang akan memperoleh undi pemilih di negeri berkenaan. Misalnya jika menang di California akan memperoleh 54 undi pemilih. Lazimnya pengundi pemilih akan mengundi calon yang menang.
Kerana itu calon memberi lebih tumpuan lebih kepada negeri yang mempunyai banyak undi pemilih bagi memudahkan tugas mengumpul 270 undi. Untuk itu, Kamala dan Trump merentas seluruh Amerika berkempen habis-habisan di negeri-negeri berkenaan, tanpa melupakan negeri-negeri lain.
Calon naib presiden, yang lazimnya dipilih awal oleh calon presiden sebagai pasangan atau ‘running mate’ tidak diundi. Dia akan memegang jawatan jika pasangannya terpilih presiden.
Secara tradisinya memang ada negeri yang condong kepada Demokrat atau Republikan. Tetapi badai pilihan raya sukar dijangka. Sejarah membuktikan ada negeri tradisi ini beralih haluan pada pilihan raya dengan mengundi calon parti lawan.
Kini seluruh Amerika, malah seluruh dunia, berdebar menuggu siapa bakal dipilih presiden ke-47. Mampukah Kamala Harris mencipta sejarah? Berjayakah Trump kembali ke Rumah Putih?
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

