SIAPA sangka seekor kucing jalanan dari Malaysia bernama Baby dinobatkan sebagai juara dunia menewaskan ribuan pesaing lain dalam Pertunjukkan Kucing Antarabangsa yang berlangsung di Oslo, Norway Ahad lalu.
Kucing betina milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus itu berjaya menambat hati para juri.
Selain bulunya yang cantik dan didandan rapi oleh Shaharuddin sendiri, Baby berjaya menarik perhatian juri kerana sangat jinak ketika dinilai.

Lebih manis lagi, Baby bersama seekor lagi kucing jantan, Miko yang juga milik pasangan tersebut berentap sesama sendiri di pentas akhir bagi penentuan juara.
Baby berumur sembilan tahun bersama-sama lapan ekor kucing yang lain terdiri daripada empat ekor kucing baka British Short Hair, tiga kucing jalanan dan seekor kucing bengal mewakili negara ke persada antarabangsa hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM).

“Penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil apabila juri tertarik dengan perwatakan Baby selain piawaian lain yang memenuhi spesifikasi pemarkahan.
“Ini adalah penghargaan yang tinggi diterima kerana Baby perlu bersaing sengit dengan 1500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukkan ini,” kata Rooaida.
Turut mengiringi kontinjen negara ke Oslo, Timbalan Presiden KKM, Habil Husssain dan Setiausaha Agong, Muhammad Hasbullah Ibrahim.
Menurut Rooaida, Baby hanyalah kucing baka biasa, diambil dari jalanan dan kemudian dipelihara dengan baik.
Sementara itu, Muhammad Hasbullah memberitahu, kucing-kucing yang berdaftar dibawah KKM dan menyertai siri pertunjukkan Fife peringkat tempatan mendapat merit untuk menyertai kempen pertunjukkan tersebut di peringkat global.
Tambahnya, pertunjukkan berprestij antarabangsa itu yang diadakan secara tahunan bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang awam mencintai haiwan peliharaan serta menjaganya dengan lebih baik.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

